Isnin, 16 November 2015

Guan Eng tiada kuasa bubar kerajaan negeri Selangor, boleh cakap apa sahaja

 Oleh Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang lantang mengkritik kedudukan PAS dalam kerajaan Negeri Selangor hanyalah cakap-cakap politik orang yang kurang senang dengan kerjasama PAS dan PKR sejak 2008.   
 
Menurut bekas Naib Presiden PAS, Datuk Nakhaie Ahmad, kata-kata Guan Eng itu sama seperti 'anjing menyalak bukit' yang tidak membawa kepada sebarang perubahan kepada kerjasama PAS dan PKR di Selangor.
 
"Cakap-cakap di luar daripada persetujuan itu mungkin boleh jejaskan persetujuan dalam kerajaan tapi saya tidak fikir bahawa walaupun Lim Guan Eng lantang mengkritik PAS, saya rasa pihak kepimpinan kerajaan Negeri Selangor tentu berfikiran lebih jauh daripada mengambil reaksi Guan Eng ataupun kenyataan Nik Mohamad Amar (Timbalan Menteri Besar Kelantan) kerana itu kerajaan, ini parti.
 
"Parti (boleh) bercakap walaupun ada kesannya mungkin mereka (PAS) akan bertindak keluar tapi saya fikir DAP dan PAS dalam kerajaan Selangor mungkin fikir lain sebab Guan Eng tidak boleh bubarkan kerajaan Negeri Selangor, tidak ada kuasa dia," katanya kepada Antarapos. 
 
Bukan setakat itu, PAS juga kata Nakhaie boleh mengeluarkan kenyataan sama bagi memastikan DAP tidak terus mendominasi kepimpinan kerajaan Negeri Selangor.
 
"Cakap politik ini saya rasa itu di luar daripada pakatan mereka, cakap-cakap politik itu ialah kenyataan-kenyataan politik bagi parti-parti berkenaan yang tidak ada kaitan dengan pakatan mereka untuk menubuhkan kerajaan, PAS pun boleh berkata kepada DAP," katanya lagi.
 
PAS semalam memberikan amaran keras kepada Guan Eng supaya menutup mulut dan berhenti daripada mengeluarkan kenyataan yang 'merapu'.
 
Amaran itu disuarakan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah susulan kenyataan terbaru Guan Eng yang mahu DAP kekal berada di Selangor bagi memastikan PAS tidak membuat 'jahat' seperti yang berlaku di Kelantan.
 
Malah, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan 'memulangkan paku buah keras' kepada DAP apabila mendakwa PAS akan terus kekal dalam kerajaan Selangor bagi memastikan DAP tidak berterusan membuat sesuka hati mereka di negeri ini.
 
 

Tiada ulasan: