Isnin, 23 November 2015

Guan Eng angkuh, dakwa Pemuda MCA

 Oleh Wan Anis Ilyani W. M. Azhar

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terbukti seorang yang angkuh dan tidak boleh menerima kritikan, dakwa Ketua Pemuda MCA, Ching Sin Woon.
 
Ching berkata demikian merujuk kontroversi terbaru melibatkan Lim yang secara semberono menuduh lima ADUN PKR Pulau Pinang 'bersama' Umno Barisan Nasional (BN) hanya kerana bersikap berkecuali dalam isu projek tambak laut di negeri itu.
 
"Sudah jelas di depan mata bagaimana keangkuhan Guan Eng selepas mendapat sokongan padu di Pulau Pinang menjadikan beliau seorang yang tak boleh terima kritikan atau komen," katanya kepada pemberita di Lobi Dewan Rakyat, pagi tadi.
 
Lim minggu lalu menuduh lima ADUN PKR menyokong Umno BN apabila bersikap berkecuali selepas ADUN Betong, Muhammad Farid Saad meminta projek tambak laut itu dibatalkan kerana ia akan menjejaskan habitat hidupan laut selain memberi kesan tidak ekonomik kepada nelayan. 
 
Projek untuk tujuan pembangunan itu dilaporkan melibatkan tanah seluas 2,600 hektar.
 
Lima ADUN itu adalah Ong Chin Wen (Bukit Tengah), Dr Norlela Ariffin (Penanti), Cheah Kah Peng (Kebun Bunga), T Jayabalan (Batu Uban) dan  Lee Khai Loon (Machang Bubuk).
 
PKR sehingga hari ini tidak menjelaskan apakah alasan lima ADUN berkenaan bersikap berkecuali dalam isu itu.
 
Pemuda PKR George Town bagaimanapun 'menghantar mesej' kepada Lim berhubung kekesalan mereka terhadap tuduhan Setiausaha Agung DAP itu.
 
Ujar mereka Lim tidak sepatutnya dengan mudah melabel ADUN PKR di negeri itu yang selama ini menyokong pemerintahannya, sejak 2008.
 
Ketidakbersamaan PKR dalam isu projek tambak laut bukan kayu ukur kepada kesetiaan PKR terhadap DAP di Pulau Pinang, tegas Pemuda PKR itu lagi.
 
Mengulas lanjut, Ching juga menyifatkan DAP yang dipimpin Lim kini mahu menguasai PKR selepas berjaya menyingkirkan PAS dalam pakatan pembangkang.
 
"Keangkuhan beliau menunjukkan prinsip dalam politik itu sama, kuasa yang beliau ada memusnahkan segalanya. Itu yang saya nampak pada Guan Eng
 
"Nampak sangat keretakan di dalam Pakatan Harapan selepas pergaduhan antara DAP dan PAS. Kini PKR juga menunjukkan ketidakpuasan mereka terhadap DAP," ujarnya.
 
DAP sebelum ini bertindak memutuskan hubungan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas Presiden PAS itu bertegas mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan.
 
DAP juga mengumumkan Pakatan Rakyat sudah terkubur biarpun PAS dan PKR masih menjalinkan hubungan utuh dalam pakatan itu

Tiada ulasan: