Jumaat, 20 November 2015

Dr Mahathir anggap Jakim paksa Islam versi mereka pada orang lain



Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiada paksaan dalam Islam. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan buku baru Datuk Zaid Ibrahim ‘Assalamualaikum’. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 20 November, 2015.Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiada paksaan dalam Islam. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan buku baru Datuk Zaid Ibrahim ‘Assalamualaikum’. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal.
 
 
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) cuba memaksa versi Islam mereka ke atas orang lain, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini. "Dalam Islam tiada paksaan," katanya sewaktu ditanya jika Jakim kelihatan cuba mengawasi kehidupan peribadi rakyat.

"Tetapi, Jakim cuba memaksa semua orang mematuhi versi Islam mereka."

Baru-baru ini, beberapa personaliti terkemuka menyifatkan Jakim "bertentangan dengan Perlembagaan" memandangkan setiap negeri sudah mempunyai ketua agama mereka dan Putrajaya sebaiknya tidak mencampuri urusan agama. 
 
Bekas perdana menteri turut mengulas mengenai isu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) apabila beliau berkata Putrajaya mungkin menganjurkan kursus perkahwinan di Paris untuk belajar tentang komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Yapeim baru-baru ini dilaporkan membelanjakan RM290,000 untuk dua kursus perkahwinan di Paris, yang didakwa bagi membendung ancaman LGBT.

"Jika anda pergi ke Paris, anda akan melihat ramai golongan LGBT. Mungkin mereka mahu belajar tentang LGBT," kata Dr Mahathir pada satu sidang media selepas melancarkan buku baru Datuk Zaid Ibrahim "Assalamualaikum".

Dr Mahathir juga berkata dalam ucapannya, Islamisasi di Malaysia bermakna rakyat tidak perlu berfikir apabila menyentuh hal ehwal agama.

“Mereka (pihak berkuasa agama) tidak mahu orang ramai berfikir. Terima sahaja apa yang diajarkan dan beriman dengannya,” katanya.

Beliau berkata, tidak ada sebarang ayat dalam Al-Quran yang menyatakan pembayaran zakat mesti dibuat melalui kerajaan dan tidak boleh terus kepada penerima.

“Saya baca Al-Quran, dan ini tidak pernah disebut. Tetapi saya bayar zakat saya melalui kerajaan kerana itu lebih mudah,” katanya.

Pada Rabu, pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Che Mat Che Ali berkata, berdosa jika seorang Islam membayar zakat secara terus kepada penerima dan tidak melalui pihak berkuasa. 
 
 

Tiada ulasan: