Jumaat, 20 November 2015

Delegasi Yapeim ke Australia guna tiket kelas bisnes, kata NOW



Pengarah Pusat Pemantauan dan Pemberi Maklumat Kebangsaan (NOW) Akmal Nasir pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini mendedahkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia (Yapeim) guna dananya menganjurkan program agama di Australia, menaiki penerbangan tiket 'business class' ke Sydney. – Gambar The Malaysian Insider oleh Wan Asraf, 20 November, 2015.Pengarah Pusat Pemantauan dan Pemberi Maklumat Kebangsaan (NOW) Akmal Nasir pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini mendedahkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia (Yapeim) guna dananya menganjurkan program agama di Australia, menaiki penerbangan tiket 'business class' ke Sydney. – Gambar The Malaysian Insider oleh Wan Asraf. 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Pusat Pemantauan dan Pemberi Maklumat Kebangsaan (NOW) hari ini mendedahkan, Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia (Yapeim) menggunakan dananya untuk menganjurkan satu program agama di Australia, menaiki penerbangan dengan tiket "business class" ke Sydney. 
 
 Dalam pendedahan terkini kumpulan pemberi maklumat itu, Pengarah NOW Akmal Nasir berkata, agensi itu bersama cabang penyelidikannya Ar-Rahnu dan Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (Pemangkin), membelanjakan sejumlah RM218,505 untuk program 9 hari itu yang berlangsung pada April 2014.

Program itu diadakan untuk kira-kira 50 hingga 70 pelajar Malaysia yang menuntut di Australia.

"Apa perlunya buat rombongan 'business class' dan siapa mereka yang pergi ikut rombongan ini?" soal Akmal, merujuk kepada penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sydney itu, yang menelan belanja RM70,000. 
 
Akmal membuat dakwaan terkini beliau itu berdasarkan satu dokumen yang baru diperoleh daripada "sumber", yang memperincikan kos program itu pada peringkat kelulusan.

Pendedahan hari ini susulan pengumuman pihaknya minggu lepas mendakwa Yapeim membelanjakan RM290,000 untuk membiayai kursus perkahwinan di Paris, Perancis.

Akmal juga sebelum ini mendakwa, Yapeim turut membiayai rombongan yang termasuk seorang menteri dan isterinya ke Amerika Syarikat pada Mei tahun lepas.

Beliau berkata, dana itu digunakan untuk aktiviti yang termasuk bermain golf dan kunjungan ke pusat membeli-belah barangan berjenama di Washington.

Akmal membuat laporan polis berhubung dakwaan salah guna dana Yapeim dan menggesa menteri yang bertanggungjawab serta yayasan itu disiasat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut membuat laporan polis, mengatakan Akmal merosakkan kredibiliti beliau dengan membuat tuduhan palsu.

Akmal hari ini berkata, program di Australia itu, bertajuk "Menggalakkan Nilai-Nilai Islam dalam Kepelbagaian Budaya dan Agama: Masa Depan & Cabaran", diadakan di Dewan Malaysia di Sydney, dan termasuk lawatan ke Melbourne dan Adelaide.

"Yapeim adalah yayasan yang berasaskan kebajikan, bukan sebuah entiti perniagaan bertujuan mengaut keuntungan," kata Akmal.

Beliau berkata, rakyat yang membuat caruman kepada Yapeim berhak mengetahui bagaimana yayasan itu membelanjakan wang mereka.

Beliau juga berkata, beliau sedang menunggu saman yang hendak disampaikan Jamil kepadanya sebelum melantik peguam.

"Bagi saya, kes (saman) itu perkara kedua. Keutamaannya ialah mendapatkan satu penjelasan demi kepentingan pencarum Yapeim," katanya.
 
 

Tiada ulasan: