Khamis, 5 November 2015

Debat yang tidak bawa manfaat



Oleh Mohd Sayuti Omar


Setuju sangat dengan pandangan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai debat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di antara Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dan Ketua Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy tidak akan menyelesaikan masalah melain memberi pencerahan dan maklumat kepada umum.

Jalan penyelesaian terbaik menuntasi skandal itu kata Khairy ialah dengan menyerahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk menyudahkan siasatannya. Beliau percaya dengan prosedur PAC sahaja isu itu dapat diselesaikan.

Di sini saya nak tambah sedikit, bukan sahaja setakat itu tetapi kerajaan perlu membebaskan siasatan tersebut tanpa ada campur tangan dan halangan.


Pasukan khas yang dibentuk sebelum ini terdiri daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia dan juga Jabatan Peguam Negara untuk menyiasat segala transksi ke dalam akaun 1MDB termasuk wang derma kepada Datuk Seri Najib Razak dan perkara-perkara lain perlu dihidupkan semula.

Pun begitu saya secara peribadi tidak percaya ia dapat diselesaikan kerana sudah ada niat agar skandal itu jangan diselesaikan apabila pasukan khas berkenaan dirombak dan diganti dengan orang baharu yang bersimpati dengan Najib. Pertukaran peguam negara adalah satu hal yang sangat jelas.

Dan skandal itu tetap menjadi hantu dan momok kepada rakyat apa lagi bagi pihak pembangkang, apabila pasukan penyiasat khas itu dibubar. Najib dan pembelanya tidak boleh mempertahankan skandal berkenaan kerana pembubaran pasukan itu memberi isyarat dan erti jelas berhubung perkara itu.

Pendeknya selagi Najib ada kuasa, kuasa itu tidak akan diberikan untuk menyiasat ke atas dirinya hatta demi kepentingan negara sekiranya ia menjejaskan diri. Kalau pun siasatan dibuat ia bertujuan untuk menutup rapat rahsia skandal itu bukan dibuka kepada umum. Jadi matlamat debat itu sia-sia sahaja.

Penjelasan Arul nanti hanya sebagai soal kepada sesuatu yang belum terungkap tetapi sudah dihidu umum.

Lantaran itu ia membuang masa sahaja dan mencuri tidur rakyat dan pegawai kerajaan. Yang boleh manfaat daripada debat berkenaan ialah Pua. Apa pun hujah yang akan dinyata dan dikatakan Arul itu kelak, orang akan "jeh" tolak begitu sambil ia akan dianggap ia sudah diprogramkan.

Katanya RTM bersedia menyiarkan secara langsung debat berkenaan. Penyiaran itu sudah tentu bagi menunjukkan menteri menjaganya sanggup berbuat apa sahaja asalkan kedudukannya selamat dan walafiat.

Demikian juga rancangan atau tepat ajakan seorang ahli Jawatankuasa Kerja PAS yang hendak berdebat dengan Datuk Husam Musa di atas tajuk kejatuhan kerajaan PAS di Kedah dan Terengganu. Debat itu juga tidak ada faedah besar kepada pembangunan dan politik negara ini. Malahan ia lebih busuk daripada debat Pua dan Arul.

Kejatuhan kerajaan PAS Terengganu dan Kedah bukan perkara perlu didebatkan tetapi ia patut dibincang, difikir kemudian diambil iktibar agar tidak berlaku di kemudian hari, ataupun bagi mengelakkan ia tidak berulang di Kelantan pada pilihan raya umum ke-14 nanti.

Apabila lokasi debat itu ditetapkan dan tajuk juga dipilih oleh sebelah pihak, nampak sangat tujuan itu bukan bertolak daripada niat baik tetapi daripada hati yang busuk. Cara ia dipelawa juga tidak menunjukkan ada elemen keikhlasan bagai menangani masalah yang timbul berhubung debat berkenaan.

Ia dicadangkan itu bukan penyelesaian kepada masalah (kelemahan) PAS tetapi lebih untuk menunjukkan keberanian bagi orang yang mengajak. Ia juga satu idea dangkal daripada orang yang rasa bertaraf antarabangsa.

Saya tidak pasti apakah ajakan individu parti agama itu sudah disahut Husam atau tidak. Molek kalau Husam tidak ikut "erel" dengan ajakan itu. Apa yang didedah dan ditimbulkan Husam dalam surat-suratnya sehingga merangsang orang PAS itu untuk mempelawa debat sudah terjawab, ia sebagai benar.

Misalnya mengenai pertanyaaan Husam tentang Yayasan Islam Kelantan (YIK) menunggaki hutang sampai berbelas-belas juta. Perkara ini sudah pun disahkan exco Kelantan. Menurut exco berkenaan, tunggakan yang tertimbun kini mencecah RM14 juta. Ia satu kesengsaraan kewangan kepada YIK yang sebelum ini berkali-kali menafikan.

Penjelasan dan pengakuan itu sekaligus menampakkan kerajaan Kelantan (YIK) baik, telus dan bertanggungjawab. Tetapi apabila ia menggunakan alasan, syarikat yang menjalankan perniagaan dengan YIK tidak mematuhi syarat sehingga YIK bermasalah, menjelaskan YIK hendak letak kesalahan dan kelemahannya ke atas belakang orang.

Perkara ini tidak sesenang itu, kesalahan dan kelemahan YIK hendaklah diakui dengan jujur tanpa cuba menyalahkan pihak lain. Meletakkan kesalahan kepada syarikat yang menjalankan usaha sama (JV) dengan YIK bukan boleh dilakukan seperti meletak "igu" dan "gerap" ke atas bahu lembu atau kerbau.

Penjelasan exco berkenaan menggambarkan akan kelemahan tadbir urus orang yang bertanggungjawab terhadap YIK itu sendiri. Siapa lagi kalau bukan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Jadi mengenai pelawaan orang PAS untuk berdebat dengan Husam elok tidak diteruskan dan Husam tidak perlu respons kepada pelawaan itu yang sudah awal-awal lagi dibuat bukan bertolak daripada keikhlasan. Biarlah orang yang mengajaknya itu menunjukkan keberanian dan kebenarannya dengan cara demikian. Budak-budak memang begitu.

Lagipun saya bimbang kalau berlaku debat itu dan kedua pihak tidak dapat mengawal perasaan maka lebih banyak lagi tembelang PAS akan terburai. Apa-apa boleh jadi. Saya sangat bimbang apakah ada dalam pengetahuan Husam mengenai ada seorang exco Kelantan yang dikatakan bawa wang berjuta ringgit dalam 2 guni. Wang itu baru dikeluarkan dari sebuah bank di Kota Baru. – msomelayu.blogspot.my

Tiada ulasan: