Sabtu, 21 November 2015

DAP anggap PAS-PKR 'penyendal' parti, kata Utusan Malaysia

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: DAP kini semakin menunjukkan kuasa mereka dengan melakukan tindakan bukan sahaja tidak memuaskan hati sekutu rapatnya PKR tetapi juga ‘musuh politiknya’ PAS.
 
Memetik komentar Zulkiflee Bakar dalam ruangan Utusan Malaysia hari ini, beliau berkata PKR-PAS dilayan seperti ‘penyendal’ sahaja, seolah-olah 'ada pun tak untung, tak ada pun tak rugi’.
 
"Tangisan wakil rakyat bergema di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ahli-ahli PAS kehilangan kedudukan dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK).
 
"Pemecatan 3,000 JKKK Pas sudah menjadi bukti bahawa DAP boleh melakukan apa sahaja selagi mereka mempunyai kekuatan dominan dalam pakatan pembangkang," ujar beliau.
 
Kelmarin ADUN Penanti daripada PKR Norela Ariffin menangis dalam sidang DUN Pulau Pinang kerana gagal mendapatkan jawapan daripada kerajaan pimpinan DAP mengenai masalah dihadapi rakyat di DUN Penanti.
 
Bukan itu sahaja, DAP juga memecat semua ahli JKKK PAS di negeri ini yang tidak menyokong Pakatan Harapan.
 
Menurut komentar itu lagi, peringatan daripada pelbagai pihak terhadap PAS sudah diberi namun parti itu enggan mendengar dan menuruti segala yang dikehendaki DAP.
 
"Namun oleh kerana terlalu ingin merebut kuasa PAS mengenepikan segala pandangan sehingga begitu berbangga apabila ada pemimpin DAP berhujah menggunakan ayat al-Quran.
Tetapi kini lihatlah apa yang berlaku.
 
"PKR yang mempunyai 9 kerusi di DUN pun dilayan bagaikan `melukut di tepi gantang’, apatah lagi Pas yang hanya dianggap ‘penghias’ pentadbiran kerajaan negeri.," tegasnya. 
 
Zulkiflee yang menyifatkan PAS sebagai celaru menasihatkan, parti Islam itu memutuskan kerjasama dengan PKR Selangor seperti mana yang berlaku di Pulau Pinang. 
 
"PAS pula mengumumkan menjadi pembangkang di Pulau Pinang sedangkan di Selangor mereka bersama-sama DAP berada dalam kerajaan negeri. Segala-galanya semakin keliru, mengelirukan dan celaru.
 
"PAS sepatutnya meninggalkan juga kerajaan Selangor dan tidak boleh lagi memberi alasan mereka bekerjasama dengan PKR, bukannya DAP," katanya.
 
 

Tiada ulasan: