Jumaat, 20 November 2015

CARI MAKAN", "TAK CUKUP MAKAN" ATAU "MAHU LEBIH MAKAN"?

shahbudindotcom

 
 
 
Siapa pun yang mengikuti rentetan kemelut berkaitan1MDB, pasti tidak dapat mengelak daripada bersetuju tentang perlunya ahli perniagaan Jho Low dipanggil untuk memberi keterangan untuk merungkai pelbagai isu berkaitan syarikat pelaburan bermasalah dan sarat hutang itu.

Ini kerana meskipun namanya tidak tertulis secara rasmi dalam 1MDB, tetapi seperti mana pernah dilafazkan oleh Khairy Jamaluddin, "cop jarinya tetap ada di seluruh tempat" melibatkan syarikat itu.

Lantaran itu, KJ pada 20 Mei 2015 lagi menegaskan perlunya Jho Low dipanggil untuk memberikan keterangan kerana beranggapan, penglibatannya terlalu besar untuk diabaikan.

Kenyaaan KJ itu kemudian disambut oleh Pengerusi PAC ketika itu, Nur Jazlan Mohamed pada 10 Julai 2015 yang mengatakan Jho Low akan dipanggil mengadap jawatankuasa bagi memberi keterangannya.

Menurut Nur Jazlan yang barangkali kerana ketegasannya itu telah dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri pada 28 Julai 2015, meskipun nama Jho Low tiada dalam 1MDB tetapi kedudukanya tertulis dalam lembaga penasihat Terengganu Invesment Authority atau TIA berdasarkan laporan interim Ketua Audit Negara.

TIA adalah syarikat asal sebelum ia ditukar nama kepada 1MDB.

Namun apabila Hasan Ariffin dilantik mengetuai PAC, lenggok nadanya jelas berbeza dengan mengatakan tiada keperluan pula memanggil Jho Low memberi keterangannnya.

Selain mengatakan Najib Razak tidak perlu dipanggil untuk memberi keterangann kepada PAC, Hasan juga berkata, Jho Low turut tidak akan dipanggil kerana ia tiada dalam skop siasatan jawatankuasa itu.

Tentu menghairankan mengapa pendirian PAC boleh berbeza-beza hanya dalam tempoh tidak begitu lama sedangkan perkara yang disiasat adalah isu yang sama?

Apakah ini memperlihatkan seolah-olah Jho Low mahu dilindungi?

Beberapa hari yang lalu pula, Kementerian Dalam Negeri dalam jawapan bertulisnya di Parlimen turut menyatakan Interpol Malaysia tidak dapat mengesan di mana beradanya Jho Low ketika ini.

Jawapan kementerian yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi itu juga menjelaskan, tiada siasatan sedang dijalankan oleh polis terhadap jutawan itu serta tiada permohonan daripada mana-mana pihak untuk mengesannya.

Sekali lagi, jawapan ini juga seolah-olah mahu melindungi Jho Low dan mengajak rakyat untuk bersetuju bahawa tiada keperluan untuk mencari dan memanggil ahli perniagaan tersebut.

Bagaimanapun, jawapan bertulis itu dinafikan oleh jurucakap Jho Low yang mengatakan spekulasi sebarang bantuan diperlukan untuk menghubungi ahli perniagaan itu adalah tidak berasas kerana pada Ogos 2015, SPRM pernah menghubunginya  untuk mendapatkan bantuan daripadanya.

Berikutan itu, kata jurucakap itu, wakil Jho Low dengan segera menghubungi SPRM dan terus sentiasa berhubung.

Bermakna, sama sekali tidak tepat jawapan bertulis Kementerian Dalam Negeri di Parlimen bahawa Jho Low tidak dapat dikesan di mana beradanya dan perlu sebarang bantuan Interpol Malaysia untuk menghubunginya disebabkan SPRM sudah sedia berhubung terus dengannya.

Jho Low nampaknya bukan saja meneliti semua perkara yang berlaku di Malaysia yang melibatkan dirinya dan pantas memberi reaksi jika ada keperluan, malah mengesahkan dirinya bukanlah sukar untuk dicari atau dihubungi.

Tetapi, kenapa PAC yang diketuai Hasan Ariffin dan Kementerian Dalam Negeri  yang diterajui Zahid Hamidi bagaikan berebut-rebut menunjukkan mahu melindungi Jho Low?

Seorang mengatakan tidak perlu dipanggil untuk memberi keterangan, seorang lagi pula menyatakan tidak dapat dikesan dan tiada permohonan untuk mencarinya.

Apa tujuan dan kemahuan di sebalik kenyataan yang berbeza-beza ini?

Adakah ini yang dinamakan kenyataan "cari makan" atau isyarat "tak cukup makan" atau barangkali mahu "lebih makan"?
 
 
 

Tiada ulasan: