Jumaat, 27 November 2015

'Buat mesyuarat dalam kelambu jika enggan didengari' - Mat Taib

Syah Hairizal Kamalul Arifin, Astro Awani
'Buat mesyuarat dalam kelambu jika enggan didengari' - Mat Taib
Jelasnya lagi selama hampir 50 tahun beliau berjuang bersama beberapa pemimpin yang masih ada dalam parti itu semenjak 1964, perkara seumpamanya tidak pernah berlaku. - Gambar Fail
 
 
PETALING JAYA: UMNO disaran mengambil contoh keterbukaan yang dipamerkan di negara jiran Indonesia dalam kebebasan bersuara.

Bekas Menteri Besar Selangor, Menteri Besar ke-11, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib berkata hak bersuara dan perbincangan secara langsung yang disiarkan stesen televisyen republik tersebut perlu
dicontohi parti keramat orang melayu itu.

"Kita ambil contoh beberapa forum yang diadakan di Indonesia, seperti yang dianjurkan Kelab Peguam Indonesia.

"Mereka menganjurkan forum yang dihadiri pemimpin tertinggi negara itu Presiden Joko Widodo dan Gabenor Jakarta sambil disaksikan oleh penuntut universiti.

"Segala macam soalan yang dibangkitkan dibincang secara terbuka oleh Presiden dan Gabenor tanpa sebarang sekatan soalan mahupun jawapan" ujarnya yang ditanya mengenai kemungkinan sekatan liputan oleh media pada Perhimpunan Agung UMNO, Disember nanti.

Jelas Muhammad perkara ketelusan dan keterbukaan yang dipamer republik itu semakin kabur di negara ini dan itu yang perlu dititikberatkan UMNO.

Pada Khamis, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau belum menerima sebarang makluman berhubung Perhimpunan Agung UMNO 2015 yang bakal diadakan secara tertutup tanpa sebarang liputan media.

Perkara itu menurut Zahid di luar pengetahuannya dan perlu dirujuk kepada Setiausaha Agung Parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor Adnan pada Rabu telah mengeluarkan kenyataan bahawa perhimpunan tersebut akan diadakan secara tertutup dan pihak media akan dihadkan.

Mengulas lanjut perkara tersebut Muhammad berkata jika perkara yang dimaksudkan pemimpin dalam parti itu benar berlaku maka beliau pasti ada suatu yang tidak kena dan seolah-olah mahu menyorokkan sesuatu.

"Jika ia berlaku sebegitu mesti ada perkara yang ingin disorokkan jika tidak mengapa perlu dibuat secara tertutup.

"Maksudnya UMNO tidak lagi menjadi parti yang terbuka seperti sebelum ini," ujarnya.

Jelasnya lagi, selama hampir 50 tahun beliau berjuang bersama beberapa pemimpin yang masih ada dalam parti itu semenjak 1964, perkara seumpamanya tidak pernah berlaku.
"Selama hidup saya didalam UMNO sebelum ini tidal pernah perkara sebegini dilakukan apatah lagi di peringkat cawangan.

"Jika begitu, UMNO bahagian dan cawangan juga perlu dibuat secara tertutuplah sebab tiada keterbukaan lagi.

"Kalau begitu lebih baik buat mesyuarat dalam kelambu," ujarnya yang telah meninggalkan parti itu dengan beralih arah menyertai Pakatan Rakyat pada 2013. 
 
 

Tiada ulasan: