Sabtu, 14 November 2015

BEGINIKAH RUPA PEMIMPIN KITA?

shahbudindotcom






Pendedahan pertama - Empat individu dalam Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam ( YaPEIM), sebuah yayasan naungan kerajaan yang bertanggungjawab terhadap orang miskin dan anak-anak yatim, didakwa menerima pendapatan mencecah hampir RM2 juta setahun.

Mereka didakwa menerima gaji dan elaun yang tinggi itu melalui pelbagai jawatan dalam anak syarikat yang berada di bawah YaPEIM. Lebih menggerunkan, suami dan anak lelaki salah seorang "orang besar" dalam YaPEIM itu juga turut menerima habuan lumayan melalui pelbagai jawatan yang disandangnya.

Pengerusi YaPEIM didakwa menerima pendapatan bulanan berjumlah RM73,000.00 sebulan manakala timbalan pengerusinya bersama suami dan anak lelakinya dipercayai mengumpul pendapatan bulanan sebanyak RM81,700.00

Salah seorang daripada "orang besar"  YaPEIM terbabit adalah pemimpin Pergerakan Wanita UMNO di Kelantan.

Pendedahan kedua - Lawatan seorang menteri yang bertanggungjawab terhadap YaPEIM ke Amerika Syarikat pada 2014 yang didakwa menelan kos keseluruhan sebanyak RM410,978.00, juga dengan menggunakan wang yayasan tersebut.

Lawatan menteri yang turut disertai oleh isterinya itu turut diselitkan dengan acara membeli belah, bermain golf, makan malam dan pembelian cenderahati yang juga dibayar oleh YaPEIM.

Melalui invois yang diperolehi menunjukkan tiket pergi balik menteri terbabit dan isterinya saja berjumlah RM274,493.00.

Kedua-kedua pendedahan ini dibuat oleh Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan atau NOW.



Sehingga ini, semua yang didakwa  dalam pendedahan NOW itu, sama ada menteri terbabit atau kedua-dua "orang besar"  dalam YaPEIM itu,  belum lagi memberi sebarang ulasan atau penjelasan mengenainya.

Tetapi isu ini telah menjadi perbualan hangat di seluruh negara dan jika betul semua pendedahan NOW itu, ia benar-benar memalukan agama, bangsa dan negara kita.

Ini kerana mereka yang didakwa itu bukan saja bergelar pemimpin, tetapi juga kerap melaungkan perjuangan membela Melayu dan kalimah-kalimah suci Al Quran turut jarang terlepas daripada pengucapan.

Terlihat juga kadang-kadang antaranya tampil dengan jubah, kopiah dan pakaian sopan menutup aurat.

Tetapi, kenapa nikmat duit dan dunia juga yang digilai? 

Inikah rupa dan perangai mereka yang bergelar pemimpin yang kita ada?

Orang  miskin, anak yatim dan mereka yang dibela tak seberapa dapatnya, tapi yang sedia kaya tanpa segan-segan mengaut labanya.

Sudah masuk hari ketiga pendedahan ini dibuat, kenapa pihak yang berkenaan masih berdiam diri? (Terbaru - petang tadi Jamil Khir sudah tampil dengan penjelasannya dan menuntut permohonan maaf daripada NOW tetapi tidak menafikan pemergian dan perbelanjaannya ke Amerika Syarikat itu. Bagaimanapun Pengerusi dan Timbalan Pengerusi YaPEIM belum tampil lagi dengan penjelasan mereka).

Kenapa lambat sangat memberi jawapan jika pendedahan NOW itu tidak benar dan berupa fitnah belaka, bahkan boleh saja dibuat laporan polis atau dihantar surat saman untuk membersihkan nama?

Tapi kenapa semuanya tidak dilakukan?

Kenapa? Kenapa? Kenapa?

 

Tiada ulasan: