Selasa, 24 November 2015

Bahas 'raba-raba': Menteri kata tangan lebih berkesan

Zikri Kamarulzaman


 


Persidangan Dewan Rakyat hari ini hangat apabila ahli parlimen membahaskan mengenai keselamatan di lapangan terbang.

Marcus Mojigoh (BN-Putatan) menyoal mengapa Malaysia tidak hanya menggunakan mesin pengimbas daripada perlunya anggota polis "raba-raba" di lapangan terbang.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi bagaimanapun berkata tindakan itu adalah perlu.

“Bukan semua body scanner (alat pengimbas) boleh kesan contohnya, bahan letupan seramik. Jadi oleh kerana kita mengamalkan standard keselamatan yang tinggi, maka ia perlu dibuat raba raba ini.

“Tapi tak ada la di tempat yang sulit, tempat-tempat yang biasa sahaja,” katanya.
Timbalan Speaker Datuk Mohd Ismail Said kemudiannya cuba menghentikan perbahasan mengenai tajuk ini.

“Kalau raba-raba ini sampai malam pun tak habis, lagi tengah malam lagi banyak cakap pasal raba-raba,” katanya dengan nada berseloroh.

Mojigoh bagaimanapun tidak menghiraukan lawak itu dan membidas jawapan Aziz.

“Hanya (di) Malaysia sahaja, tangan boleh meraba bahan letupan,” katanya.

Perbahasan semakin hangat apabila disertai oleh Tian Chua (PKR-Batu) yang berkata ada sesuatu yang tidak kena jika negara terpaksa bergantung kepada carian secara fizikal.

“Saya tidak takut diraba, menteri kata tangan sensitif boleh kesan bom tanpa sentuh bahagian sulit, saya kagum. Kita patut eksport la orang Malaysia ke seluruh dunia untuk kesan bom

“Kalau menteri anggap tangan lebih berkesan dan mesin tidak boleh kesan ada masalah la negara kita,” kata pemimpin PKR itu.

Perbahasan mengenai ‘raba-raba’ berakhir apabila Aziz berkata beliau akan membangkitkan perkara itu dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), dan berpindah ke topik lain.


Tiada ulasan: