Jumaat, 27 November 2015

Azmin nafi ada pemimpin pusat tahu hasrat lima ADUN PKR

Israr Khalid, Astro Awani
Azmin nafi ada pemimpin pusat tahu hasrat lima ADUN PKR
AZMIN: keputusan lima ADUN itu dibuat sendiri demi kepentingan rakyat dan tidak dipengaruhi unsur lain.
 
 
SERDANG: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali menolak dakwaan bahawa ada pemimpin pusat parti itu mengetahui lebih awal hasrat lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)nya untuk berkecuali dalam usul penambakan laut pada persidangan DUN Pulau Pinang.

Menurutnya, keputusan lima ADUN itu dibuat sendiri demi kepentingan rakyat dan tidak dipengaruhi unsur lain.

"Kita kena percaya kematangan ADUN kita di mana mereka mengambil pendirian untuk memastikan kepentingan rakyat dipertahankan.

"Ini bukan soal peribadi atau perbezaan politik, tetapi ADUN dalam Pakatan Harapan Baru sentiasa meletakkan kepentingan rakyat itu dalam perbahasan dan perbincangan mereka," jelasnya ketika ditemui dalam sidang media selepas merasmikan Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE) 2015 di Pusat Konvensyen dan Pameran Mines (MIECC).

"Seperti yang diumumkan semalam (Rabu), pemimpin tertinggi di peringkat pusat menerima penjelasan kelima-lima ADUN dan bagi kita isu itu telah selesai," tegasnya.

Pada Rabu, Pengerusi Biro Penyelaras Anggota Parlimen dan ADUN PKR, Datuk Johari Abdul berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang  Lim Guan Eng mendesak ADUN Bukit Tengah yang juga Ketua Whip PKR, Ong Chin Wen mendedahkan identiti pemimpin pusat yang dimaklumkan berkenaan hasrat lima wakil rakyat mereka untuk berkecuali dalam usul yang dibangkitkan ADUN Barisan Nasional (BN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad.

Guan Eng menyifatkan tindakan tersebut seperti menikam kerajaan negeri dari belakang selain menganggap ia satu tindakan 'bersifat UMNO.'

Chin Wen bersama empat ADUN lain mengambil keputusan untuk tidak mengundi dalam usul yang meminta kerajaan negeri membuat pendengaran awam terhadap projek penambakan laut semasa sidang DUN Pulau Pinang pada Jumaat (20 November).
Mereka adalah Cheah Kah Peng (Kebun Bunga), Lee Khai Loon (Machang Bubuk), Dr T Jayabalan (Batu Uban) dan Dr Norlela Ariffin (Penanti).

Ia menyebabkan usul itu ditolak setelah gagal mendapat sokongan majoriti apabila hanya 10 yang menyokong - sembilan daripada BN dan seorang daripada DAP sementara 23 daripada Pakatan Harapan tidak menyokong. 
 
 

Tiada ulasan: