Sabtu, 14 November 2015

Ayuh debat, Rafizi pula tunggu jawapan Arul


Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berharap Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy tidak berdalih lagi selepas menyatakan kesediaan untuk berdepan sesiapa sahaja di hadapan penyokong Umno, hari ini.

Menurutnya, jika Arul menolak cabaran debat itu sekali lagi, beliau menganggap Arul bukan seorang ahli profesional.

"Saya berharap kesediaan saya melayan kembali ego Arul Kanda tanpa syarat ini akan disambut oleh beliau. Jika beliau berdalih sekali lagi dan memberi pelbagai alasan, saya beranggapan beliau pun tidak berbeza dengan ahli-ahli politik Umno yang hanya berani mendabik dada di gelanggang sendiri di depan penyokong sendiri.

"Maka saya nasihati beliau menyertai Umno secepat mungkin. Saya akan menunggu maklumbalas beliau," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERAKAITAN: Saya akan 'ganggu' Arul sampai dia setuju]

Arul hari ini berkata, beliau bersedia memberi penerangan mengenai agensi pelaburan milik kerajaan yang dibebani hutang itu kepada sesiapa yang berminat, termasuk Rafizi dan Setiausaha Publisiti, DAP Tony Pua.

"Kami (1MDB) akan berjumpa dengan sesiapa saja yang mahu memahami lebih lanjut (tentang syarikat berkenaan), termasuk Rafizi dan Tony," beliau dipetik sebagai berkata di Majlis Penerangan Perdana 1MDB, Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPP) dan Bajet 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Menurut Rafizi lagi, beliau akan menulis secara rasmi hari ini kepada Arul mengenai tawaran debat itu.

"Oleh kerana beliau telah menyatakan secara terbuka kesediaan untuk berdepan dengan saya, maka saya akan menyahut kesediaan itu," katanya.

Rafizi menambah, beliau akan  menulis secara rasmi kepada Sinar Harian hari ini untuk menjadi penganjur bebas kerana Sinar Harian telah beberapa kali mengadakan wacana yang menemukan pimpinan BN dan Pakatan Harapan.

"Format dan segala peraturan perdebatan adalah terpulang kepada Sinar Harian," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sinar Harian sedia anjur debat]

Sebelum ini, stesen TV RTM membatalkan tawaran untuk mengadakan debat bersiaran secara langsung antara Arul dengan Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Tony Pua setelah Pakatan Harapan menukar Tony dengan Rafizi.

Tony terikat dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat untuk meneruskan debat 1MDB itu susulan kedudukannya dalam PAC.

Tiada ulasan: