Khamis, 5 November 2015

Arul Kanda cari helah elak debat – Rafizi

 
Dia mendakwa Arul Kanda berselindung di sebalik kenyataan Speaker Dewan Rakyat untuk mengelak debat 1MDB diteruskan.


Rafizi-Arul


KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif Kumpulan dan Presiden, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda tidak seharusnya berselindung di sebalik kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menjelaskan kontroversi 1MDB merupakan isu nasional dan tidak wajar Arul mengelak daripada berbahas mengenainya.

“Untuk Arul cuba mengambil helah apabila berselindung dan hanya sudi berbahas dengan Tony Pua adalah satu tindakan yang tidak tepat.

“Isu 1MDB ini bukan isu peribadi antara Tony Pua dan Arul Kanda sahaja, ia melibatkan rakyat. Arul harus jawab isu ini dan apabila tidak, ia menunjukkan beliau seorang yang tidak profesional,” katanya dalam sidang media di Parlimen pada Khamis.

Jelas Naib Presiden PKR itu lagi, dia dan Tony Pua telah mempersoalkan isu 1MDB ini sejak enam tahun lalu dan menjadi tanggungjawab Arul untuk menjawab.

“Paling kurang, berani sikitlah menjawab. Kalau tidak sia-sia rakyat bayar gaji berpuluh ribu,” katanya lagi.

Arul sebelum menerusi kenyataan media berkata, dia tidak akan berdebat dengan Rafizi bagi menghormati keputusan Yang Dipertua Dewan bahawa sebarang debat harus berlangsung selepas pendengaran Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Mengulas mengenai perkara itu, Rafizi menjelaskan Arul Kanda telah menyalah tafsir kenyataan yang dibuat oleh Pandikar Amin.

“Dia hanya mereka-reka cerita, dan disebabkan itu Tony Pua telah bertanyakan soalan yang khusus sekiranya beliau ditukarkan, adakah akan menjejaskan siasatan PAC dan jawapan yang diberikan Speaker adalah beliau tidak boleh menghalangnya,” kataya lagi.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, beliau tiada masalah dengan kenyataan Arul untuk tidak meneruskan debat itu.

“Terserah kepada Arul.” katanya kepada FMT.

Tiada ulasan: