Rabu, 25 November 2015

Apa dosa saya dihalang berucap? – Muhyiddin

 
Beliau menerima keputusan itu tetapi tidak akan berdiam untuk terus bercakap demi kebaikan semua pihak.


najib-umno


PETALING JAYA : Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan apakah dosa yang telah beliau lakukan terhadap UMNO sehinggakan Timbalan Presiden tidak lagi boleh merasmikan mesyuarat sayap-sayap parti pada Perhimpunan Agung UMNO.

Katanya, adakah UMNO takut dengan apa yang akan beliau ungkapkan di hadapan anak-anak muda boleh meluput keyakinan kepada seorang pemimpin.

“Apalah dosa yang telah saya lakukan terhadap UMNO sehingga tradisi berucap yang saban tahun diberikan kepada setiap Timbalan Presiden dinafikan kepada saya pada tahun ini?,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik di Facebook.

Muhyiddin berkata, beliau kesal kerana tidak diberikan peluang untuk menyampaikan amanatnya dalam sebuah majlis yang amat bermakna pada dirinya sebagai Timbalan Presiden.

“Ia adalah ucapan terpenting saya di hadapan para pejuang parti yang melakarkan harapan serta cita-cita saya agar UMNO terus gagah meredah cabaran zaman.

“Nampaknya, saya tidak berpeluang lagi untuk menyampaikan amanat saya dalam satu majlis yang amat bermakna buat saya sebagai Timbalan Presiden,” katanya sambil menambah, ada pihak tertentu yang cuba menghalangnya daripada berucap pada perhimpunan itu.

Walaupun menghormati keputusan itu, namun Muhyiddin berkata, tiada pihak yang boleh mendiamkan dirinya di dalam sebuah negara yang bebas merdeka ini untuk terus bercakap.

“Saya akan terus berbicara menyatakan yang hak. Perjuangan saya di dalam UMNO bukanlah untuk mempertahankan mana-mana individu, tetapi untuk membela agama, bangsa dan negara yang tercinta,” tegasnya.

Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Muhyiddin tidak akan merasmikan mesyuarat sayap-sayap UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO pada bulan hadapan.

Sebaliknya, Najib berkata, majlis perasmian mesyuarat Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO tahun ini akan dilakukan oleh ketua sayap masing-masing.

Tiada ulasan: