Sabtu, 14 November 2015

1MDB: Teruskan debat, bukan hanya penerangan

Nurul Izzah Anwar - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

ALOR SETAR - PKR mahu debat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) antara Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arul Kanda Kandasamy dan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli diteruskan.

Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar berkata, perkara itu perlu kerana melibatkan banyak dakwaan dan persoalan terhadap rakyat.

“Laporan pun tidak dimaklumkan kepada rakyat. Jangan cuba guna alasan untuk beri penerangan semata-mata.

“Penerangan itu amat berbeza dengan debat kerana kita mempunyai banyak dakwaan yang wujud. Soalnya bila masa diadakan penerangan dan apa isu utama yang nak disampaikan,” katanya selepas menghadiri program Kayuhan Kesihatan Bebas Anwar di pekarangan Pejabat PKR Kedah, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, ia bukan soal debat atau penerangan semata-mata tetapi siasatan serius yang menghasilkan laporan interim dari Ketua Audit Negara.

“Pada saya, ini bukan soal untuk menjawab kepada pembangkang tetapi rakyat kerana ia bukan dikritik oleh pembangkang sahaja termasuk media antarabangsa.

“Semua rakyat tahu dan bimbang mengenai impaknya. Maka saya fikir tidak salah untuk meneruskan debat dan tetapkan tarikhnya,” katanya.

Terbaharu, Arul menyatakan kesediaannya untuk memberi penerangan mengenai agensi pelaburan milik kerajaan yang dibebani hutang itu kepada sesiapa yang berminat termasuk Rafizi dan Tony Pua.

Tiada ulasan: