Khamis, 5 November 2015

18 November keputusan pertuduhan Khairuddin, Matthias

THE MALAYSIAN INSIDER



Bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang menghadapi pertuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara. – Gambar fail The Malaysian Insider, 5 November, 2015.  
Bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang menghadapi pertuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara. – Gambar fail The Malaysian Insider,
 
 
 
Bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang akan diketahui pada 18 November ini sama ada pertuduhan terhadap mereka tertakluk di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma)
 
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin berkata tarikh itu adalah yang terawal dapat ditetapkan kerana beliau akan bercuti selama seminggu dari minggu  depan.

Hakim itu juga tidak membenarkan permohonan Khairuddin dan Chang bagi jaminan interim sementara menunggu perkara itu diputuskan pada 18 November.

Peguam mewakili Khairuddin, Mohamed Haniff Khatri Abdulla memohon kepada mahkamah agar mendengar permohonan jaminan interim itu, tetapi dibantah Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud yang berkata mahkamah boleh mendengar perkara itu pada tarikh sama. 
 
 "Saya minta mahkamah memberikan saya sekurang-kurangnya 5 minit untuk berhujah berhubung jaminan interim. Anak guam saya Khairuddin dan Chang ditahan selama 6 minggu," katanya dan menurutnya beliau tidak mahu membazirkan masa mahkamah tetapi sekurang-kurangnya mahkamah memberikan jaminan interim kepada mereka.

Masri pula berkata pihak pendakwaan membantah keras permohonan bagi jaminan sementara pada peringkat ini kerana mahkamah masih belum membuat keputusan tentang pertuduhan itu.

Pada ketika itu, anggota keluarga Khairuddin menjadi emosional dan mula merungut satu sama lain kenapa mahkamah enggan mendengar dan membenarkan jaminan sementara diberikan kepada tertuduh itu.

Ini mendorong anggota polis dalam mahkamah tampil menenangkan anggota keluarga  berkenaan termasuk isteri Khairuddin, pelakon Datin Seri Umie Aida.

"Saya minta kamu semua bersabar ya, mahkamah tengah bersidang," kata anggota polis.

Chang yang duduk dalam kandang tertuduh turut berdiri dan memberitahu hakim yang rakannya dalam sel dijangkiti HIV dan menghidap tuberkulosis (TB atau batuk kering) dan beliau (Chang) juga mengalami gangguan pada tekak dan hilang suara.

"Anda mahu saya tunggu 2 minggu lagi. Adakah mahkamah mahu saya dan  Khairuddin juga terdedah kepada HIV dan TB. Adakah ini adil kepada kami?" katanya.

Hakim Azman kemudian menjawab: "Mr Chang mahkamah bersimpati dengan awak".

Khairuddin, 53, dan Chang, 65, menghadapi pertuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara di 5 lokasi antara 28 Jun hingga 26 Ogos tahun ini mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan (Akta 547) dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun, jika sabit kesalahan.

Lima lokasi itu adalah pejabat ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Perancis di Paris; Balai Polis Charing Cross London, United Kingdom; Pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern; Balai Polis WaiChan, Hong Kong; dan ibu pejabat polis Cantoment, Singapura.

Kedua-dua tertuduh memfailkan usul di Mahkamah Tinggi bagi memohon perintah antara lain, pertuduhan terhadap mereka tidak boleh dibuat di bawah Sosma dan mahu mahkamah membebaskan mereka dengan ikat jamin.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin pada 19 Oktober tahun ini merujukkan kes mereka ke Mahkamah Pesekutuan untuk menentukan persoalan Perlembagaan dan Mahkamah Persekutuan menetapkan hari ini untuk mendengar perkara itu.

Panel 5 anggota Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria berkata mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan yang rujukan persoalan perlembagaan dibuat Mahkamah Tinggi adalah tidak kompeten kerana tidak mematuhi Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Hakim Arifin juga memerintahkan perkara itu didengar dengan segera kerana ia melibatkan kebebasan seseorang. – Bernama,


Tiada ulasan: