KUALA LUMPUR, “Doakan saya kahwin cepat.”


Demikian luahan spontan penyanyi dan komposer wanita terkenal, Yuna sebelum menyampikan salah sebuah lagu popularnya, Lautan pada Konsert Yuna Live In Malaysia 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di ibu negara, malam Jumaat lalu.

Penyanyi itu berkata demikian selepas memberikan reaksinya terhadap populariti dan penerimaan positif terhadap lagu Lautan yang telah menjadi lagu kegemaran peminatnya.

“Saya tidak menyangka lagu Lautan ini menjadi pilihan ramai dan memilihnya sebagai lagu tema perkahwinan mereka selain lagu latar untuk video pra perkahwinan mereka.

“Sesungguhnya ia adalah sesuatu yang sangat manis dan istimewa. Terima kasih kerana memilih lagu Lautan ini dan sememangnya itulah niat saya sejak dari awal menjadi seorang anak seni.

“Biarlah lagu-lagu nyanyian dan ciptaan saya diterima dengan baik serta positif lalu meninggalkan impak tersendiri buat mereka yang menghargainya. Terima kasih saya ucapkan,” ungkapnya yang disambut dengan tepukan gemuruh daripada peminatnya sebelum menyampaikan lagu yang baru sahaja memenangi Lagu Tema Asal Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 itu.

Biarpun kini sedang membina namanya di peringkat antarabangsa, namun Yuna masih sempat meluangkan masa untuk menghiburkan peminatnya di negara ini menerusi konsert berkenaan yang telah mencatatkan rekod tersendiri apabila kesemua tiket habis dijual.

Trek rekod itu membuktikan bahawa pengaruh yang dimiliki oleh pemilk nama lengkap Yunalis Zaraai itu bukan sembarangan dan sebelum ini juga, konsertnya di Istana Budaya, tahun lalu juga mencatatkan kejayaan serupa.

yuna-m-1
Yuna semakin bijak untuk bermain dengan emosi sehingga dirasai dalam penyampaiannya 
untuk setiap lagu. – Foto Livescape Asia
Berbalik kepada konsert tersebut yang merupakan siri jelajah musim luruh Yuna untuk tahun ini, ia boleh disifatkan sebagai konsert yang berada dalam liga dan kelasnya tersendiri.

Apa yang membuatkan penulis kagum apabila melihat rata-rata peminat Yuna yang sememangnya menghargai dan begitu mengangkat penyanyi kesayangan mereka itu ke peringkat yang sewajarnya.

Dan, penulis percaya hampir kesemua 3,000 penonton yang menghadiri konsert berkenaan adalah pelajar, remaja dan peminat generasi baharu yang ternyata begitu teruja serta asyik menghayati setiap lagu dendangannya.

Malah, mereka hafal kesemua lagu Yuna baik di dalam bahasa Melayu mahupun Inggeris dan ia secara jelas memberikan satu gambaran bahawa Yuna sememangnya bukan sembarangan anak seni.

Dari awal sewaktu dia membuka panggung dengan lagu keramatnya yang telah menjulang namanya di persada seni tanah air, Dan Sebenarnya, penonton bagaikan terkena histeria apabila terpekik-pekik memanggil namanya.

Sesuatu yang penulis suka dengan Yuna apabila dia bijak memiliki rangkaian lagu-lagunya untuk dibentuk menjadi sebuah cerita untuk membuatkan peminat serta penonton memahami apa yang cuba hendak disampaikannya menerusi konsert berkenaan.

Lagu-lagu seperti Falling, Lights and Camera, Mountains, Someone Who Can, I Want You Back dan Rescue dipilih sebagai takrifan kepada evolusi karier seninya selepas era Dan Sebenarnya.

yuna-m-3
Peminat yang hadir tidak melepaskan peluang untuk merakamkan momen terbaik mereka 
sewaktu Konsert Yuna Live In Malaysia 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, malam 
Jumaat lalu. – Foto Livescape Asia
Dalam erti kata lain, anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu mahu peminat dan penggemarnya sedar bahawa sebagai seorang pengkarya, dia enggan statik untuk terus berada dalam zon selesa dalam memberikan warna bagi setiap karyanya.

Bukan itu sahaja, secara eksklusifnya buat rakyat Malaysia, Yuna mendendangkan lagu baharunya, All I Do yang akan dimuatkan di dalam album antarabangsa ketiganya yang akan dipasarkan tahun hadapan.

“Lagu ini sangat istimewa kerana ia merupakan hasil kolaborasi bersama David Foster dan ternyata ia adalah satu penghormatan buat saya untuk bergandingan bersama beliau menerusi lagu ini,” kata Yuna sebelum menyampaikan lagu berentak balada itu.

Tidak menghampakan peminat yang mengenali dirinya menerusi lagu-lagu Melayu, bekas pemenang Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-18 (2011) menerusi lagu Penakut itu tidak lupa untuk menyampaikan Terukir Di Bintang, Lelaki dan lagu baharunya, Material.

Untuk terus menghangatkan malam yang dingin selepas hujan lebat beberapa jam sebelum berlangsungnya konsert itu, Yuna bersama ukelelenya dengan pantas mengajak penonton menari dan berdansa bersamanya menerusi lagu Come Back.

Ibarat sebuah pesta, mereka tidak segan silu untuk menari sambil bertepuk tangan menerusi lagu yang dimuatkan di dalam albumnya berjudul Nocturnal itu sehingga membuatkan penyanyi itu berasa puas melihat reaksi daripada audiens.

Satu perkara yang cukup jelas tentang Yuna adalah bukan hanya muziknya yang berevolusi tetapi penyampaian vokalnya juga sudah menunjukkan perubahan dan mencapai satu tahap membanggakan apabila dia sebenarnya mampu untuk bereksperimentasi dengan permainan vokal.

Noh-m-1
Bukan sahaja menghiburkan audiens dengan persembahannya, tetapi aksi lucu Noh Salleh 
di atas pentas juga membuatkan penonton terhibur dengan keletahnya. – Foto Livescape Asia
Lagu-lagu lain seperti Lullabies, Live Your Live dan Decorate juga menjadi pilihan dalam senarai repertoirenya untuk konsert berkenaan selain lagu Penakut yang telah membuatkan semua penonton diam terpaku mendengarkan alunan indahnya.

Bahkan ada yang berbisik sesama sendiri sambil menyatakan lagu Penakut merupakan lagu paling sedih buat mereka lantaran muzik dan liriknya yang sememangnya menikam kalbu.

Benar, lagu Penakut ada aura jiwanya yang tersendiri dan mampu memberikan impak terutama buat mereka yang pernah berhadapan dengan situasi sama seperti di dalam lagu tersebut.

Mengakhiri persembahannya dengan lagu I Wanna Go, konsert Yuna kali ini sememangnya memberikan kepuasan buat peminat tegarnya.

Terlebih dahulu, sebagai pembuka persembahan sebelum konsert bermula, penonton dihiburkan terlebih dahulu oleh vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh yang mendendangkan tiga buah lagu solonya termasuk Angin Kencang dan Bunga Di Telinga.

Bagi penulis, ia adalah sebuah konsert yang enjoyable walaupun Yuna masih perlu terus untuk memperbaiki skil komunikasinya bersama audiens.

Tetapi, saya percaya itu bukan masalah besar kerana komunikasi Yuna adalah menerusi muzik dan setiap lagu dendangannya.