Isnin, 19 Oktober 2015

Usul undi tak percaya: Pas tunggu 'undangan'

TAKIYUDDIN HASSAN
Takiyuddin Hassan


KUALA LUMPUR - Pas masih menunggu 'undangan' Pakatan Harapan bagi membincangkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri pada persidangan parlimen, kali ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sehingga kini, pihaknya masih belum diajak berbincang meskipun parti Islam itu secara dasarnya bersetuju dengan usul tersebut.

"Kita masih dalam pembangkang, terutamanya PKR, kita masih lagi ada hubungan, sepatutnya bila nak bawa usul itu, maklum kepada kita dulu.

"Kita tunggu daripada ketua pembangkang, bagi tahu kita akan buat keputusan, kita tengok dulu apa yang dia nak bawa itu," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau mengulas keputusan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini sebulat suara bersetuju untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

[ARTIKEL BERKAITAN: Setuju Wan Azizah bawa usul tidak percaya]

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau sendiri akan membawa usul tersebut dalam masa terdekat selepas DAP menolak usul yang dibawakan oleh Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan).

Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, usul itu tidak harus dikemuka oleh ahli parlimen biasa kerana ia perkara penting dan “bukan main guli”.

Dalam pada itu, Takiyuddin juga berkata, Pas tiada halangan untuk menyokong usul tersebut sebagai sebahagian daripada persepakatan pembangkang.

"Usul tidak percaya ini sebahagian daripada proses demokrasi dalam parlimen yang dibenarkan di bawah peraturan, jadi tiada apa yang salah," ujarnya.

Ditanya tentang sama ada ahli parlimen Pas akan sebulat suara menyokong usul tersebut, beliau bagaimana pun berkata, mereka tertakluk kepada keputusan parti Islam itu.

"Itu bergantung kepada keputusan parti, bila parti membuat keputusan, mereka wajib kena sokong, kita ada 14 orang ahli parlimen," katanya lagi.


Tiada ulasan: