Jumaat, 2 Oktober 2015

Tuntut kebenaran pun langgar SOSMA?

Mujahid Yusof Rawa


 


Penahanan Naib Ketua Bahagian Umno Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hasan di bawah SOSMA dan sebelumnya bawah Kanun Keseksaan kerana memudaratkan proses demokrasi parlimen adalah sesuatu yang tidak perlu.

Ini memandangkan bahawa Khairuddin hanya ingin mendapat kebenaran dari kes 1MDB yang telah menjejaskan kepercayaan rakyat kepada kepimpinan Najib Razak sebagai perdana menteri Malaysia.

Penahanan ini membawa implikasi bahawa undang-undang negara digunakan untuk menyelamatkan pemimpin yang korup dan bukan untuk menjaga kepentingan negara dan awam.

Kami berpendirian bahawa SOSMA adalah undang-undang yang memberi kuasa kepada panel penyiasat dan menafikan hak kepada mahkamah dalam menentukan merit pendakwaan dan pengadilan di mahkamah terbuka.

Lagipun SOSMA adalah bertujuan untuk memerangi keganasan yang menjejaskan keselamatan negara. Apakah menuntut kebenaran kepada skandal 1MDB satu ancaman keselamatan kepada negara?

Penahanan Khairuddin dan lain-lain kes menindas kebebasan mengkritik regim korup adalah lambang kepada negara kuku besi yang sedang terbina bawah pimpinan Najib.

Semua yang cintakan keadilan merentasi kefahaman politik harus bangkit pada penindasan ini. Umno memberi nyawa kepada pemimpin kuku besi seperti ini menguasai negara kita Malaysia tercinta.
Teruskan perjuangan menuntut hak dan tolak pemimpin kuku besi!


MUJAHID YUSOF RAWA naib presiden Parti Amanah Negara dan MP Parit Buntar.

Tiada ulasan: