BALIK PULAU,  Lebih daripada sepuluh pemilik ladang buah-buahan bimbang apabila mata pencarian mereka terjejas akibat kejadian tanah runtuh.

Kumpulan itu mendakwa kejadian tanah runtuh itu dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pembinaan di kawasan sekitar.

Tambahnya lagi, mereka kini tidak boleh memasuki kawasan tersebut berikutan ladang seluas 12 hektar itu rosak teruk dan lebih dari seminggu mereka tidak turun ke ladang.

“Kami membina jalan ke ladang lebih daripada lima tahun lalu dan tiada jalan lain lagi untuk memasuki ladang itu kerana dikelilingi hutan.

“Kami risau kerana kerosakan ladang begitu teruk sehingga tiada jalan untuk kami masuk dan melihat kawasan sekeliling.

“Lebih-lebih lagi, sekarang adalah waktu membenih tanah dan ia sangat penting bagi menghasilkan hasil buah yang berkualiti,” kata Keong Swee Lok, 68, pemilik ladang buah-buahan seluas 14 hektar.
TB1
Kawasan tidak boleh dilalui berikutan ladang seluas 12 hektar itu rosak teruk dan lebih dari 
seminggu mereka tidak turun ke ladang. – Foto TRP/Adib Hakim
Antara buah-buahan yang ditanam di sini adalah termasuk durian, rambutan, mangis dan buah-buahan bermusim yang lain.

Keong dan rakan-rakan yang lain meminta bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah yang membuat lawatan ke kebun tersebut hari ini.

Shah Headan menggesa campur tangan kerajaan negeri untuk mengemukakan perkara ini kepada pemaju projek supaya dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi para petani.

“Saya tidak pasti apa projek yang dijalankan di sini. Tetapi saya difahamkan satu lagi projek pembinaan chalet kini dijalankan di sini.

“Ini bukan Bukit Laksamana tetapi jika benar maka ia boleh menimbulkan banyak persoalan kerana arahan memberhentikan kerja pembinaan telah dikeluarkan pada April 2014 dan Januari 2015.

“Jika benar projek itu yang menyebabkan kerosakan ladang, pemaju mesti bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita di sini.
TB3
Ahli Dewan Undangan Negeri Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah (tengah)
 menggesa campur tangan kerajaan negeri untuk mengemukakan perkara ini kepada pemaju projek
 supaya dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi para petani. – Foto TRP/Adib Hakim
Pada bulan Jun tahun ini, Bukit Laksamana dilanda kontroversi selepas cerun bukit itu diratakan untuk membina 36 buah chalet di mana tiga daripadanya telah siap.

Terdahulu, Shah Headan Ayoob bersama media meninjau ke kawasan kejadian yang membawa kepada ladang yang terletak di lereng bukit Teluk Bahang.

Kawasan lereng bukit Bukit Laksamana ditemui telah dibersihkan dan diratakan bagi membina jalan merah sepanjang tiga kilometer.

Kawasan yang terjejas sebesar 3.24 hektar itu terletak kira-kira 800 meter dari Sungai Endoi iaitu sumber air utama Teluk Bahang Dam.

Pemilik ladang lain, Anuar Ahmad, 42, berkata beliau tidak mengetahui jika projek itu penyebab kepada kerosakan jalan tetapi pihak berkuasa perlu menyiasat perkara ini.

“Jika betul jalan tersebut rosak akibat projek pembinaan yang dijalankan maka pemaju perlu bertanggungjawab sebagaimana mata pencarian kami dipertaruhkan,” katanya.