Selasa, 20 Oktober 2015

Tanya PAS apa pendirian usul undi tidak percaya pada PM - DAP

Oleh Azizul Osman 

 
Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: PAS perlu menyatakan pendirian mereka samada menyokong atau tidak usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
 
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata usul tersebut adalah penting dan PAS tidak boleh terus berdolak dalih berhubung perkara itu. 
 
Tidak seperti PAS, DAP amat konsisten dan jelas menyokong usul yang bakal dibawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang Parlimen kali ini.
 
"Ini kena tanya PAS. Saya bukan PAS. Jadi ini kena tanya PAS (mengenai pendirian usul undi tidak percaya). Perkara yang penting ialah apa pendirian PAS sekarang? Pendirian kami (DAP) jelas, kami akan sokong usul undi tidak percaya (yang akan dibawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail). 
 
"PAS telah mengambil pendekatan berbelah bagi dan kabur setakat ini, kami tidak pasti dengan pendirian mereka setakat ini. Presiden (Hadi Awang) telah menyatakan bahawa beliau akan tunggu dan lihat, jadi kamu (wartawan) patut tanya beliua, apa pendirian mereka? Adakah mereka akan sokong atau tidak?", soal Guan Eng.
 
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini memberitahu PAS secara dasarnya menyokong usul tersebut sementelah parti itu masih sebahagian daripada pakatan pembangkang.
 
Bagaimanapun, keputusan rasmi berhubung usul itu bergantung pada perbincangan di peringkat PAS Pusat.
 
Terdahulu, pada Julai tahun ini Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi bayangan bahawa parti itu tidak akan menyokong mana-mana usul undi tidak percaya terhadap Najib.
 
Hadi dipetik sebagai berkata, PAS lebih berminat mengubah landskap politik negara menggunakan cara yang lebih sihat dan bukannya melalui kaedah yang mendatangkan huru-hara.
 
"PAS tidak akan menyertai agenda melakukan perubahan politik secara tidak sihat kerana cara itu akan menghuru-harakan negara.
 
"Kita mahukan perubahan tetapi kita akan lakukan secara sihat iaitu melalui pilihan raya umum.
 
"Perubahan kepimpinan negara seperti dicadangkan Gerakan Harapan Baru (GHB) boleh menghuru-harakan negara dan mengorbankan masa depan rakyat," katanya seperti dilaporkan akhbar Berita Harian.
 
 

Tiada ulasan: