KUALA LUMPUR,  “Sampai bila pengurusan Umno masih teragak-agak untuk bertindak ke atas bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah,” soal Awang Selamat dalam ruangannya di Mingguan Malaysia, hari ini.


Menurut Awang, sudah terlalu banyak tindak-tanduk Saifuddin yang bukan sahaja tidak selari dengan aspirasi parti, malah bercanggah, tetapi beliau terlepas dan seolah-olah mempunyai imuniti.

Jelasnya, kenyataan terbaru bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu, bahawa beliau akan terus menghadiri program pembangkang atas kapasiti pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekali lagi menguji Umno.

“Pada Awang, Saifuddin tidak lagi berminat kepada Umno dan Umno lebih-lebih lagi, sudah tidak mengharapkan beliau, setelah pengaruhnya dalam parti itu sudah hilang, selepas kalah di Temerloh.

“Maka, apa ditunggu lagi, sudah tidak ada keserasian antara kedua-duanya,” katanya.


Tambah Awang lagi, dia tertarik dengan kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mahu Saifuddin meninggalkan Umno, jika terus menjadi duri dalam daging kepada parti.

“Cukuplah, sudah banyak peringatan diberi dan kegagalan untuk bertindak akan memberi mesej yang salah kepada semua.

“Tanpa Saifuddin dalam Umno, tiada siapa akan menangis sebaliknya, ia kelegaan besar buat semua,” ujarnya.

Dalam pada itu, akhbar itu turut memuji dua parti komponen Barisan Nasional, iaitu MCA dan Gerakan yang berganding bahu menggesa DAP memohon maaf, selepas mencetuskan sentimen perkauman dalam negara sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, situasi di mana kedua-dua parti itu bersama dalam sidang media meminta DAP memohon maaf dan ‘bertaubat’, kerana menjadi punca sentimen perkauman semakin menebal, adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Penganjuran perhimpunan haram Bersih sejak 2012, menyaksikan peranan aktif DAP bersama penganjurnya memburukkan lagi keadaan.

“Walaupun DAP membantah apa yang ditegaskan oleh MCA dan Gerakan, itulah realitinya sejak sekian lama,” katanya.

Tegas Awang lagi, DAP harus dipertanggungjawabkan, kerana sejarah parti berkenaan, termasuk mengenai kedudukan, kuasa, pendirian, kedudukan dan rekod perjuangan adalah ke arah chauvinistik.

“DAP bukan sahaja membawa mudarat kepada perpaduan kaum, malah mengheret para pengikutnya kepada ekstremisme politik.

“Inikah pendekatan selamat untuk menjamin keamanan dan masa depan negara?” soalnya.