Rabu, 28 Oktober 2015

Sudah tiba masa Pas lebih agresif

kongress,pas


Oleh Nazuri Ismail


Pas perlu berhenti bermimpi untuk bersama Pakatan Rakyat dan perlu belajar menerima realiti mereka bersendirian pada PRU14.
 
Seperti ada yang tidak kena dengan Pas..
 
Perkembangan politik mutakhir yang melibatkan parti tersebut amat jelas menunjukkan bahawa Pas menjadi “kambing hitam” bagi parti-parti yang dahulunya rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat (PR) yang sudah pun berkubur.

Tidak cukup dengan kejian, kata nista dan tuduhan palsu yang dilemparkan kepada Presidennya, Tuan Guru Haji Hadi dan barisan pimpinan yang lain, malah ahli mereka “dicuri” serta harta mereka dirampas.

Namun ramai yang terkesima dengan reaksi yang diberi oleh Pas, kelihatan seolah-olah redha menjadi “bahan” politik. Kepimpinan Pas bagi penggal 2015-2017 tidak langsung menunjukkan mereka barisan yang berjaya menumpaskan puak “duri dalam daging” yang gagal mendapat mandat daripada ahli akar umbi.

Kelesuan dan respon pasif terhadap fitnah, penghinaan dan ketidakadilan oleh “rakan-rakan” mereka dalam PKR dan DAP menggambarkan seakan-akan merekalah yang kalah pada muktamar baru-baru ini.

Lebih aneh dan tidak masuk akal lagi, masih ada di kalangan mereka yang menaruh harapan dengan PKR dan Pakatan Rakyat (PR) yang sebenarnya telah “mati” dan digantikan dengan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini.

Kenyataan bercanggah oleh segelintir pemimpin tidak membantu langsung memulihkan reputasi malah memberi gambaran seolah-olah kepimpinan tidak berdisiplin atau sependapat malah keliru dengan pendirian dan hala tuju.

Situasi ini semakin meruncing sehinggakan tahap keyakinan barisan kepimpinan pelapis dan ahli biasa yang masih setia bukan sedikit terjejas. Cakap-cakap di kalangan mereka dalam pentadbiran negeri Selangor, EXCO Pas dikatakan sudah bersiap sedia untuk “dipancung” dan diusir keluar dari kerajaan negeri. Ia bukan rahsia lagi.

Siapa tidak tahu janji-janji manis yang disajikan oleh Azmin Ali selaku Menteri Besar Selangor, kononnya akan terus bersama Pas namun semata-mata tindakan membeli masa untuk meredakan kemarahan pihak istana sehingga pilihan raya yang akan datang.

Bila tiba masanya, Pas pasti akan ditendang keluar. Namun, reaksi Pas Selangor setakat ini adalah diam seribu bahasa, menanti kepala mereka “disembelih”.

Reaksi agresif wajar

Walaupun Pas memang dikenali sebagai sebuah parti yang mempunyai adab dan tata susila tinggi di kalangan pemimpin dan ahli dalam menyuarakan pandangan, namun keadaan sekarang mewajarkan mereka bertindak lebih agresif.

Pas perlu menerima hakikat bahawa parti itu akan menghadapi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) dan pilihanraya lain dalam masa terdekat secara bersendirian.

Hentikanlah retorik yang tidak bermakna malah mengaibkan untuk terus bersama Pakatan Rakyat yang sudah lenyap atau komitmen terhadap PKR yang terang-terangan tiada niat dan keikhlasan yang setara terhadap Pas.

Retorik sebegini hanya akan melengahkan timbulnya kesedaran dan penerimaan hakikat di peringkat akar umbi yang sepatutnya mempertingkatkan persiapan, mengukuhkan jentera dan menguatkan istiqamah dalam menghadapi sebarang pilihanraya secara solo terutama PRU14 yang dijangka dalam tempoh dua atau tiga tahun sahaja lagi.

Bersendirian tidak semestinya hanya akan membuahkan hasil negatif. Sebaliknya, pulangan lumayan boleh dituai sekiranya strategi yang dipilih sesuai serta menepati citarasa dan mood pengundi kebanyakan.
Sebenarnya, ada rahmat yang terselindung di sebalik tipu helah dan pengkhianatan peringkat tertinggi.

Bukan sahaja terlepas daripada belenggu tuntutan tidak munasabah dan kerenah bekas rakan sekutu yang jelas hanya mahu mengerah tenaga akar umbi dan memeras jentera Pas tanpa sokongan timbal balas dan setiakawan yang wajar, malah Pas sekarang bebas untuk merangka hala tuju dan strategi untuk meningkatkan sokongan rakyat terutama di kalangan masyarakat Muslim dan/atau Melayu/Bumiputera.

Meskipun ada kemungkinan sokongan bukan Muslim/Melayu akan menunjukkan sedikit kemerosotan buat masa sekarang, ini tidak sepatutnya mematahkan semangat Pas kerana ia masih berpeluang mengukuhkan Dewan Himpunan Penyokong Pas iaitu sayap bukan Islam yang boleh disandarkan harapan untuk meraih undi bukan Islam dan menjadi satu “pool” para calon berkaliber di bawah tiket Pas untuk bertanding di kerusi “campuran” malah di kerusi yang disifatkan sebagai bukan Melayu/Bumiputera.

Ketiadaan DAP yang terpalit persepsi anti-Islam dan bersifat rasis terhadap Melayu/Bumiputera dijangka akan memudahkan Pas mengorak langkah memulakan rundingan demi mencari titik persamaan dengan mana-mana parti politik atau NGO yang menyokong atau paling kurang, tidak akan sekali-kali menentang agenda menerapkan tata cara hidup patuh Syariah dan hukum syarak bagi mereka yang beragama Islam tanpa menafikan hak-hak bukan Islam.

Kini, Pas tiada sebarang sekatan untuk mula berbincang dengan mana-mana pihak yang mempunyai aspirasi yang sama ke arah kesejahteraan masyarakat Malaysia yang pelbagai tetapi bertunjangkan Islam.

Sebagai contoh, melainkan DAP, PKR dan Amanah, Pas kini boleh mengintai peluang merungkai satu hubungan atau kerjasama strategik (tetapi jelas bentuk dan batasannya) dengan mana-mana parti politik baik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak termasuk komponen Barisan Nasional (BN).

Musuh ketat tradisi

Kolaborasi UMNO-Pas mungkin kelihatan agak “agresif” memandangkan UMNO adalah musuh ketat tradisi bagi Pas. Namun, idea seumpama ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja tanpa penelitian yang mendalam dan menyeluruh memandangkan DAP dan PKR bukan lagi rakan kongsi yang Pas boleh bergantung harap atau dipercayai khususnya apabila sebarang kerjasama dengan DAP dilihat bakal merencat proses pengukuhan sokongan pengundi Muslim/Melayu.

Kerjasama yang dipertimbangkan ini tidak perlulah dalam bentuk yang mengikat (binding) sehingga boleh memberi implikasi terhadap pembentukan kerajaan di peringkat negeri dan/atau persekutuan. Cukuplah dengan menjalin satu persefahaman khusus untuk pilihanraya yang tidak terarah kepada gabungan dalam kerajaan yang bakal dibentuk.

Pada masa yang sama, satu persefahaman “hibrid” yang menggabungkan beberapa karakteristik kerjasama longgar dan lebih kekal terutama demi menjamin hak dan manfaat bagi masyarakat Muslim/Bumiputera di Malaysia juga boleh diperhalusi.

Bentuk kerjasama sedemikian bukanlah sesuatu yang baharu malah sudah lama menjadi topik perdebatan atau perbincangan oleh pelbagai pihak yang jelak melihat perbalahan antara parti-parti politik berteraskan Melayu/Bumiputera.

Berikut merupakan cebisan nukilan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohamad Asri Zainul Abidin dalam blognya bertarikh 24 Februari 2015:

“Seeloknya langkah kerjasama tersebut (UMNO dan Pas) dimulakan secepat mungkin demi kebaikan rakyat negara ini. Kerjasama itu jika dengan maksud tolong menolong ke arah kebaikan dan taqwa, maka ia merupakan suruhan agama.

Impian rakyat untuk melihat persaingan sihat antara kerajaan dan pembangkang akan lebur jika Pas terus berkrisis seperti sekarang yang boleh membawa pertandingan tiga penjuru dalam pilihanraya akan datang, yang akan melemahkan persaingan sihat dan menjadikan suatu pihak akan begitu dominan.

Banyak persamaan antara Pas dan UMNO selama ini, terutama di sudut aliran kefahaman Islam kedua parti itu. Hanya bahasa yang berbeza, tapi isi mereka banyak yang sama.

Golongan Islam yang lebih progresif mungkin akan mempunyai ruang baru yang jelas di medan siyasah dengan hilangnya bayangan Islam Pas yang selama ini dilihat pelbagai versi.

Rakyat akan dapat melihat sejauh manakah kejujuran politik antara kedua parti melayu Islam itu apabila mereka bergabung dalam pentadbiran. Penilaian matang akan dapat dibuat.”

Idea seumpama ini boleh diuji kebolehlaksanaannya apabila Pas diterajang keluar dari kerajaan Pakatan Rakyat Selangor di mana kematangan politik baharu akan menyaksikan semua ADUN UMNO dan sekumpulan ADUN lain memberi sokongan tanpa syarat di Dewan Negeri seterusnya membolehkan Pas membentuk kerajaan baharu di Selangor. Pas juga boleh merangka kerjasama hampir serupa dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), satu lagi parti politik didominasi Muslim/Bumiputera sebagai persiapan menghadapi pilihanraya negeri Sarawak yang mesti dilangsungkan selewat-lewatnya tahun hadapan.

Gagasan pemikiran di luar kotak

Selain daripada strategi memperkukuh tapak sokongan di kalangan masyarakat Muslim/Bumiputera yang dikira paling berasas dan pragmatik, ada kewajarannya jika Pas menerajui inisiatif membentuk Kuasa Ketiga sebagai alternatif kepada dua koalisi sedia ada, BN dan PH.

Sebagai parti politik kedua terbesar di Malaysia, secara semulajadi Pas bakal menjadi parti teras bagi koalisi alternatif ini di mana sebarang parti bukan komponen BN atau PH di Semenanjung dan Malaysia Timur di samping mana-mana parti komponen BN yang cenderung beralih angin sepatutnya berunding mencapai kesepakatan untuk memberi saingan sengit kepada BN dan PH dengan memanfaatkan kekuatan akar umbi dan jentera Pas.

Idea ini bukanlah sesuatu yang sangat asing atau mustahil bagi Pas memandangkan di bawah kepimpinan Dr Burhanuddin Helmy sebagai Presiden (1956-1969), falsafah sosio-ekonomi Pas condong ke kiri. Ini bukti jelas bahawa “political Islam” dan ideologi “centre-left” boleh bergerak seiring.

Sekiranya strategi ini yang dipilih, bentuk kerjasama yang paling sesuai dan berdaya saing adalah satu koalisi mengikat (binding) dengan implikasi pada pembentukan kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan.

Pandang ke hadapan

Apa pun, amat jelas bahawa Pas perlu menjauhkan dan memisahkan diri daripada mana-mana parti komponen PH.

Amat menyedihkan sekali sekiranya Pas membiarkan maruah tergadai dan agenda menegakkan syariat Islam terbantut dengan menyokong Pakatan Harapan sekaligus mensia-siakan kejayaan yang telah dicapai oleh “Geng Ulamak” dalam hierarki kepimpinan parti.

Hakikatnya, Pas perlu melangkah ke hadapan dengan penuh yakin bahawa ia mampu mempertahankan kekuatan dengan keutuhan kepimpinan yang sedia ada.

Kekuatan Pas terletak pada pegangan dan ajaran Islam berpandukan al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas sebagai rujukan dalam menetapkan hala tuju dan gerak kerja Pas.

Pemimpin dan ahli boleh datang dan pergi, namun parti berasaskan Islam yang membawa cahaya kebenaran akan terus bersinar menerangi persada politik tanahair.

Tiada ulasan: