Selasa, 13 Oktober 2015

Siasat individu lindungi penjenayah ikut Sosma, kata Zaid

MALAYSIAKINI


 


Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) perlu digunakan bagi menghukum individu yang menghalang institusi awam daripada menjalankan tugas mereka, kata bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Katanya, ini termasuk mereka ‘yang melindungi penjenayah’ yang mungkin adalah Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali sendiri.

"Satu hari nanti, kita mungkin terpaksa siasat Peguam Negara sendiri jika benar beliau terbabit melindungi individu tertentu,” kata Zaid ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Apandi berhubung keputusan Pejabat Peguam Negara yang memutuskan 'untuk tidak mengambil tindakan lanjut berhubung siasatan Bank Negara ke atas 1MDB.

Jawapan Zaid juga merujuk kepada tweet yang dibuatnya berhubung kenyataan lain oleh Apandi (bawah, kanan) hari ini bahawa Sosma adalah undang-undang prosedur dan tidak terhad kepada pengganas.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggung jawab terhadap portfolio undang-undang itu juga bersetuju dengan Peguam Negara bahawa Sosma tidak seharusnya terhad kepada aktiviti keganasan.

"Pengganas bukan sahaja seseorang yang merusuh di negara ini menggunakan pistol. Ia terpakai kepada sesiapa yang cuba memusnahkan atau menghalang institusi awam daripada melakukan kerja mereka.

"Ia (Sosma) terpakai kepada semua orang, itulah undang-undang yang baik," katanya ketika diminta mengulas lanjut mengenai tweet beliau.

Kerajaan dituduh menyalah-gunakan Sosma dengan menangkap bekas timbalan pengerusi Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang.

Antara pengkritik berkenaan termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Apandi bagaimanapun hari ini menjelaskan bahawa Khairuddin dan Chang didakwa mengikut Kanun Keseksaan kerana cubaan sabotaj, dan bukannya Sosma.

Tiada ulasan: