Selasa, 6 Oktober 2015

Sanusi sedia kalau Jawatankuasa Disiplin panggil

Bicara Minda Sanusi Junid


SHAH ALAM - Veteran Umno, Tan Sri Sanusi Junid berkata, beliau sanggup memberi keterangan bila-bila masa sahaja kepada Jawatankuasa Disiplin Umno sekiranya namanya dikaitkan dengan tujuh pemimpin Umno yang dipantau kerana dikatakan melanggar parti.

Sanusi berkata namun begitu, beliau masih belum menerima sebarang panggilan daripada Jawatankuasa Disiplin parti sehingga hari ini.

“Saya memang suka orang hendak bersyarah ini, saya boleh beri penerangan bila-bila masa sahaja, awak panggil saya datang, masalahnya Umno tidak mahu panggil,” katanya ketika sidang media selepas berakhirnya Program Bicara Minda dan sesi dialong bersamanya, di Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.

Terdahulu spekulasi bertiup kencang apabila nama Sanusi dikatakan sebagai salah seorang daripada tujuh pemimpin Umno yang dipantau.

Pemerhati berpendapat kemunculan semula Sanusi yang ligat menghentam kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak akhir-akhir ini turut mencetuskan persoalan antara pemimpin Umno yang berada dalam pemantauan ibu pejabat parti itu.

Kelmarin, Setiausaha Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mencetuskan tanda tanya selepas mendedahkan tujuh pemimpin Umno dipantau kerana dikatakan melanggar disiplin parti.

Tengku Adnan yang juga menteri Wilayah Persekutuan bagaimanapun tidak mendedahkan individu yang terlibat dan sebabnya.


Tiada ulasan: