Isnin, 19 Oktober 2015

Ribut tropika punca jerebu kembali teruk

SINAR HARIAN



Jerebu
Gambar hiasan.


KUALA LUMPUR -  Keadaan berjerebu yang kembali teruk sejak beberapa hari lepas adalah disebabkan kehadiran ribut tropika Koppu dan Champi di Filipina yang mempengaruhi corak tiupan angin di rantau ini.      

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Datuk Che Gayah Ismail berkata, keadaan itu menyebabkan angin yang bertiup lemah dari pelbagai hala sebelum ini,  kembali bertiup dengan kelajuan sederhana dari arah barat daya yang membawa bersama jerebu dari kawasan kebakaran di Sumatera, Indonesia ke Semenanjung Malaysia, manakala jerebu dari kawasan kebakaran Selatan Kalimantan pula ke Sarawak.

Keadaan jerebu rentas sempadan yang melanda negara kini dijangka berakhir sekiranya tiada lagi ribut tropika yang boleh mempengaruhi corak tiupan angin dan menyebabkan cuaca kering atau apabila bermulanya musim tengkujuh awal November ini, katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Che Gayah berkata, memandangkan jarak ketampakan kini seperti  memandu di dalam hujan yang sederhana, para pemandu perlu sentiasa berhati-hati.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Datuk Halimah Hassan pula berkata portal apims.doe.gov.my tergendahala dari pagi tadi sehingga 1 tengah hari adalah kerana jumlah pengunjung yang meningkat dengan 3,000 pengunjung dalam masa tiga minit.

Orang ramai boleh hubungi bilik kawalan JAS di 1800882727 jika portal itu tergendala lagi untuk maklumat mengenai jerebu, katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya mengurangkan aktiviti di luar dan jika terpaksa keluar rumah, pemakaian topeng harus dilakukan sebagai langkah mengelakkan terkena penyakit akibat jerebu.

Setakat 5 petang ini, 17 kawasan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan Seremban masih mencatatkan IPU tertinggi iaitu 194 diikuti Batu Muda, Kuala Lumpur (165); Banting, Selangor (164); Tawau, Sabah dan Nilai, Negeri Sembilan (masing-masing 157).

Kawasan lain termasuk Bukit Rambai, Bandaraya Melaka dan Putrajaya masing-masing 154.
Sebanyak 26 kawasan lagi mencatatkan IPU sederhana termasuk Kota Tinggi, Pasir Gudang di Johor, Alor Setar dan Langkawi di Kedah, Jalan Tasek, Ipoh dan Seri Manjung di Perak, Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang, Bintulu dan Samarahan di Sarawak serta Kuala Terengganu.

Tujuh lagi kawasan dilaporkan baik setakat ini antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Chat, Kota Bharu dan Tanah Merah di Kelantan, Keningau dan Sandakan di Sabah, Institut Latihan Perindustrian Miri dan Limbang di Sarawak serta Labuan.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa. - Bernama

Tiada ulasan: