Selasa, 13 Oktober 2015

PM hilang sokongan orang kanan, rakyat

Mohd Khairuddin Aman Razali






ULASAN Sidang media Tun Dr. Mahathir Mohamed bersama lima tokoh Umno/BN semalam adalah bukti nyata bahawa pendirian dan sikap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung isu 1MDB tidak mendapat sokongan.

Ia juga menunjukkan bahawa pendirian itu ditentang oleh orang kanan Umno/BN sendiri khususnya. Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Seri Shafie Apdal yang masih menyandang jawatan timbalan dan naib presiden Umno turut serta dalam majlis tersebut.

Saya bersetuju bahawa tindakan dengan menggunakan SOSMA 2012 ke atas Matthias Chang dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan adalah suatu bentuk manipulasi terhadap peruntukan undang-undang sedia ada.

Malangnya, amalan mempergunakan undang-undang untuk bertahan sebagai Kerajaan di negara ini sudah menjadi budaya Umno/BN sejak sekian lama sehingga sukar untuk transformasi politik berlaku secara efektif dan komprehensif.

Saya serta seluruh rakyat Malaysia menyokong penuh kenyataan bersama enam tokoh Umno/BN ini dan mendesak agar pertuduhan ke atas Datuk Khairuddin Abu Hassan serta peguamnya, Matthias Chang digugurkan.

Saya juga amat mengalu-alukan keberanian dan ketegasan Tan Sri Datuk Seri Zeti Akhtar Aziz untuk membongkar kebenaran di sebalik isu 1MDB.

Langkah ini perlu bagi memulihkan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa yang telah terjejas teruk akibat skandal yang turut mengenaitkan perdana menteri.


DATUK MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI ahli Majlis Syura Ulama PAS dan MP Kuala Nerus.

Tiada ulasan: