Selasa, 6 Oktober 2015

Pemuda PAS gesa sidang parlimen khas bahas TPPA

MALAYSIAKINI


 


Pemuda PAS menggesa kerajaan mengadakan sidang parlimen khas bagi membahaskan keputusan hasil rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang disepakati bersama 12 negara, semalam.

Ketua Pemudanya, Nik Abduh Nik Aziz berkata gesaan itu dibuat kerana ia adalah perjanjian perdagangan yang besar melibatkan isu yang begitu kritikal dan memerlukan masa yang mencukupi untuk dibahas.

"Perbincangan mengenai TPPA tidak seharusnya dicampur adukkan untuk sesi Parlimen akan datang kerana bimbang peruntukan masa yang tidak mencukupi untuk dibahaskan dengan lebih teliti.
"Pembentangan Bajet 2016 juga dijadualkan pada sidang Parlimen Oktober depan," kata MP Pasir Mas itu.

"Tambahan lagi, Malaysia juga perlu lebih berhati-hati terhadap permainan politik kuasa-kuasa besar dan isu-isu yang dibangkitkan tidak boleh hanya dinilai di atas kertas semata-mata, malah, ia juga perlu dinilai pada skop geopolitik dunia yang lebih besar," katanya lagi.

Semalam Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata rundingan TPPA yang dirumuskan bersetuju mempertimbang hampir kesemua kebimbangan dan sensitiviti yang dibangkitkan Malaysia seperti isu pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara dan bumiputera.

Beliau berkata butiran fleksibel diberikan termasuk tempoh peralihan lebih panjang dan layanan berbeza bagi perkara yang sensitif kepada negara dan menegaskan Malaysia tidak akan memihak kepada perjanjian yang tidak mengikut Perlembagaan negara atau yang menjejaskan dasar teras.

Sementara itu Parti Amanah Negara (AMANAH) pulanberharap kerajaan menepati janji dengan membahasnya di Parlimen dalam tempoh masa yang mencukupi sebelum menandatangani perjanjian itu dan mahu masyarakat umum terlibat bagi meneliti oerjanjian dan membahasnya.

Pengarah Komunikasinya Khalid Samad berkata parti itu juga berharap bahawa semua teguran diambil berat dan tindakan sewajarnya oleh kerajaan dengan tidak menganggap perbahasan itu sebagai ‘public relations excercise’ semata-mata.

"Semestinya Parti Amanah Negara tidak akan membantah sesuatu yang mendatangkan keuntungan kepada negara dan rakyat. Namun yang dikhuatiri ia hanya mendatangkan keuntungan jangka masa pendek sambil menambahkan kebergantungan negara kepada sumber hasil tertentu.

"Segala usaha untuk mengembangkan kemampuan sektor swasta dan awam dalam bidang lain demi menerokai sumber hasil baru akan tercantas dari awal melalui perjanjian ini.

"Oleh itu kesan jangka pendek dan jangka panjang perjanjian sebegini perlu dikaji dengan penuh teliti," katanya dalam satu kenyataan.


Tiada ulasan: