Isnin, 19 Oktober 2015

Pemerhati: Komitmen Dr Mahathir jatuhkan Najib lebih tinggi berbanding Hadi



Pemerhati politik Lim Hong Siang berkata Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat lebih komitmen untk menjatuhkan perdana menteri berbanding Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 19 Oktober, 2015.Pemerhati politik Lim Hong Siang berkata Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat lebih komitmen untk menjatuhkan perdana menteri berbanding Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tun Dr Mahathir Mohamad memperlihatkan komitmen lebih tinggi untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui usul undi tidak percaya berbanding Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kata pemerhati politik Lim Hong Siang. 
 
 Lim berkata, walaupun Hadi seorang pemimpin pembangkang veteran, beliau dilihat tidak mempunyai pendirian berbanding Dr Mahathir yang sudah berumur 90 tahun dan lebih 10 tahun meninggalkan pentadbiran kerajaan.

Kolumnis politik dalam akhbar berbahasa Mandarin itu mengulas pendirian Hadi yang menyatakan di Kota Baru, Kelantan pada Sabtu, PAS masih belum menetapkan sama ada menyokong atau tidak undi tidak percaya terhadap Najib.

"Sehingga sekarang kita masih tidak tahu sama ada PAS akan mengundi usul tidak percaya terhadap Najib atau tidak. Itu yang masalahnya kepada kita. "Kita tidak pasti sejauh manakah komitmen PAS untuk jatuhkan regim Umno – Barisan Nasional (BN) ataupun Najib.

"Dalam kes ini Dr Mahathir lebih tinggi komitmennya berbanding Hadi.

“Tujuan Dr Mahathir jelas, dia nak jatuhkan Najib untuk selamatkan Umno - BN," katanya pada forum "Tanpa PAS ke mana Pakatan Harapan" di Petaling Jaya, Selangor malam tadi.

Dr Mahathir yang merupakan mentor kepada Najib kini menjadi pengkritik utamanya kerana syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadi perdana menteri.

Lim berkata, menjadi satu tanda tanya bagi semua pihak sama ada PAS akan menyertai BN ataupun Pakatan Harapan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

"Persoalan yang lebih besar adalah ke manakah PAS? Sebab satu soalan yang kita perlu tanya, PAS akan bertanding PRU14, dia (PAS) akan menang kerusi. Sama ada banyak atau kurang, terpulang.

"Dengan kerusi yang dimenangi itu PAS akan pergi ke BN atau Pakatan Harapan? Itu kekal sebagai tanda tanya sehingga hari ini," katanya.

Lim berkata sehingga kini masih belum jelas sama ada Pakatan Harapan mampu menawan Putrajaya tanpa penglibatan parti Islam itu, atau tidak.

"Saya amat setuju alasan diberikan PKR kita kena bergabung dengan PAS supaya tidak berlaku perang 3 penjuru pada PRU14.

"Tetapi adakah dengan PAS berada dalam Pakatan Harapan, tiada pertembungan 3 penjuru?,” soal Lim merujuk kepada pertembungan 3 penjuru antara PAS dan PKR pada PRU13 di beberapa negeri seperti Selangor, Johor, Terengganu dan Sabah.

Naib Presiden PKR Chua Tian Chiang berkata PAS dan DAP perlu berhenti bertengkar mengenai isu hudud kerana ia tidak akan mencapai sebarang penyelesaian. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 19 Oktober, 2015.Naib Presiden PKR Chua Tian Chiang berkata PAS dan DAP perlu berhenti bertengkar mengenai isu hudud kerana ia tidak akan mencapai sebarang penyelesaian. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal.Sementara itu, Naib Presiden PKR Chua Tian Chiang yang juga salah seorang daripada ahli panel forum itu menasihatkan PAS dan DAP supaya berhenti bertengkar mengenai isu hudud kerana ia tidak akan mencapai sebarang penyelesaian.

Ahli Parlimen Batu itu berkata, mereka seharusnya berpijak di bumi nyata kerana isu perbezaan ideologi dalam parti politik akan tetap wujud, namun ia sewajarnya diselesaikan menerusi perbincangan.

"Sampai kiamat pun kita tidak dapat selesaikan masalah ini. Selagi Islam ada, mesti ada orang hendak naikkan isu hudud ini.

"Selagi negara kita berbilang kaum, selagi kita berpijak di bumi nyata ini, isu perbezaan politik, perbezaan dalam ideologi ini akan wujud. Tidak mungkin kita akan satukan semua supaya kita setuju dengan satu sistem,” katanya.

Beliau berkata, rakyat mahu melihat kematangan dalam sesebuah gabungan politik itu dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Aktivis Hishamuddin Rais berkata masalah utama PAS ialah presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang enggan menyatakan pendirian dengan jelas. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 19 Oktober, 2015.Aktivis Hishamuddin Rais berkata masalah utama PAS ialah presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang enggan menyatakan pendirian dengan jelas. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal.Seorang lagi ahli panel, aktivis Hishamuddin Rais pula berkata, Pakatan Harapan tidak akan berpeluang menawan Putrajaya memandangkan negara ini mengamalkan dasar politik dunia ketiga.
Katanya, Hadi merupakan penyumbang utama dalam krisis PAS sedia ada, diikuti dengan pandangan politik yang berbeza-beza dalam parti tersebut.

"Masalah PAS ini ada beberapa. Masalah utama adalah masalah Hadi," katanya.

Hishamuddin berkata, dari segi perbezaan pandangan berhubung undi tidak percaya terhadap Najib, kenyataan presiden PAS itu bercanggah dengan setiausaha agung parti Datuk Takiyuddin Hassan yang menyokong usul tersebut.

Beliau tidak menolak kemungkinan BN akan menang besar pada PRU akan datang kerana parti itu akan mengambil kesempatan ke atas PAS bagi menghalang objektif Pakatan Harapan dalam pilihan raya itu nanti.

"Saya yakin dan saya katakan, PRU 14, BN akan menang besar, kerana jelas, Hadi berkata dia akan bertanding di merata-rata tempat.

"Hadi akan didana oleh Najib untuk menganggu Pakatan Harapan untuk kerusi PKR. Ini akan jelas berlaku dan kemenangan akan dicapai. Ini hakikat politik dunia ketiga," kata Hishamuddin.


Tiada ulasan: