Khamis, 1 Oktober 2015

Pelaku rasuah tidak boleh bersembunyi selamanya - Ketua Pesuruhjaya SPRM

Abdul Hakim Rahman, Astro Awani

Pelaku rasuah tidak boleh bersembunyi selamanya - Ketua Pesuruhjaya SPRM
Abu Kassim: Pihak yang melakukan kesalahan, sama ada ahli politik, tokoh korporat atau orang biasa, akan dinilai bukan saja oleh mahkamah tetapi akan diadili masyarakat umum. - Gambar Fail
 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed memberi amaran kepada pelaku rasuah bahawa mereka tidak boleh bersembunyi selama-lamanya.

Menurutnya, pesalah sama ada ahli politik, tokoh korporat atau orang biasa akan dinilai bukan saja oleh mahkamah tetapi akan diadili masyarakat umum.

"Mereka boleh mengelak daripada dikesan untuk satu tempoh tertentu - satu bulan, dua  bulan, satu tahun, dua tahun, tetapi tidak selama-lamanya. Ingat, siasatan tidak akan berhenti hanya kerana ada pihak yang cuba menyembunyikan bukti atau melarikan saksi.

"Jika terbukti bersalah, mahkamah adalah tempat pengadilan kelak. Rakyat akan menilai dan menghukum anda. Tidak kira anda seorang rakyat biasa, ahli perniagaan, tokoh korporat dan pemimpin politik," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Kevin Morais Moot Court di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Kuala Lumpur.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Mohd Syukri Abdull.

Pada majlis itu, Moot Court Akademi MACA dinamakan semula sebagai penghormatan kepada Anthony Kevin Morais yang pernah berkhidmat selama 10 tahun bersama SPRM sebelum bertukar Jabatan Peguam Negara.

Tiga adik-beradiknya - Charles Suresh, David Ramesh dan Datuk Richard Dilaan - turut hadir pada majlis tersebut.

Menurut Abu Kassim, mereka hanya boleh melengahkan sesuatu siasatan tetapi tidak menghentikan kes yang didengari di mahkamah.

Beliau juga mengingatkan mereka yang menerima upah atau wang imbuhan untuk bersubahat, pasti tidak akan berasa tenang dan akan terganggu sepanjang hayat.

"Ingatlah apa juga upah atau imbuhan yang diperoleh, tidak akan menjamin ketenangan dan ketenteraman dalam kehidupan. Perbuatan keji yang dilakukan akan mengganggu kehidupan kita sehingga akhir hayat,

"Jika perbuatan tersebut terbongkar, kamu akan dihina dan dikeji oleh masyarakat. Pada masa itu baru kita sedar, apa yang kita dapat, langsung tidak ada nilai berbanding dengan maruah diri yang hilang.

Ketika Mohd Shukri membacakan ucapan menyentuh mengenai bekas Timbalan Pendakwa Raya, Kevin Anthony Morais yang mati dibunuh, beliau sebak dan mengalirkan air mata mengenangkan komitmen dan dedikasi tinggi diperlihatkan mendiang.
"Tuan Kevin, kehilangan tuan menjadi peniup semangat untuk kami mempertahankan kedaulatan undang-undang negara ini.

"Kami yang masih hidup ini berjanji, pengorbanan tuan menjadi kekuatan untuk memerangi rasuah tanpa kira besar atau kecil. Tiada siapa yang kebal daripada tindakan undang-undang walau setinggi mana kedudukan mereka."

Ahli keluarga Morais termasuk Charles Suresh, David Ramesh dan Datuk Richard Dilaan - turut hadir pada majlis tersebut. 
 
 

Tiada ulasan: