Khamis, 1 Oktober 2015

PAS di Selangor: Biarlah PAS bincang, kata Azmin Ali

Oleh Azizul Osman

 
Post Pic


SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Azmin Ali menyerahkan kepada PAS untuk menentukan pendirian sama ada mahu keluar atau kekal dalam pakatan kerajaan di Selangor.

Katanya, terpulang kepada PAS untuk mengadakan sesi perbincangan mengenai kenyataan Ketua Dewan Ulamanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed yang parti itu bersedia untuk mempertimbangkan keputusan untuk keluar dari pakatan kerajaan di Selangor.

Mahfodz semalam berkata perbincangan mengenai perkara itu akan dibawa ke dalam mesyuarat jawatankuasa politik PAS tidak lama lagi.

Azmin berkata, ia terserah kepada kepimpinan PAS Pusat untuk mengambil pendekatan itu.

Namun apapun PKR akan tetap membuat perbincangan dengan PAS seperti yang dilakukan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

"Biarlah dia nak bincang. (Dewan Ulama PAS gesa PAS keluar dari Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor)."

"Kita akan teruskan perbincangan (dengan PAS), Presiden PKR (Datuk Seri Dr. Wan Azizah) dah sebut banyak kali dah (akan adakan perbincangan)," katanya selepas mengiringi Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melawat kilang sarung tangan milik Top Glove di Shah Alam.

Mahfodz mengeluarkan kenyataan itu ekoran penubuhan pakatan pembangkang baru – Pakatan Harapan – terdiri daripada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang tidak melibatkan PAS baru-baru ini.

Gabungan pembangkang lama, Pakatan Rakyat, sudah terkubur berikutan pertelingkahan yang berlaku di antara DAP dan PAS.

"PAS tidak akan ada perhubungan lagi dengan DAP. Kita akan bawa berbincang mengenai perkara ini (keluar dari Selangor) dalam jawatankuasa politik PAS dalam masa terdekat.

"Pakatan pembangkang yang baru masih baru dan secara realitinya, PAS masih berada dalam pakatan kerajaan di Selangor sehinggalah pilihan raya umum akan datang," kata Mahfodz.

Beliau sebelum itu mengulas kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menggesa PKR supaya berhenti daripada terus mengharapkan PAS akan menyertai pakatan pembangkang baru.


Pandangan Mahfodz kemudiannya dinafikan Setiausaha PAS Selangor, Khairuddin Othman.


Tiada ulasan: