Sabtu, 10 Oktober 2015

Pakatan Harapan kurang aura Pakatan Rakyat tanpa PAS - Penganalisis

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic


KUALA LUMPUR: Tanpa PAS kewibawaan Pakatan Harapan dilihat gagal menandingi 'kehebatan' gabungan pembangkang sebelum ini, Pakatan Rakyat (PR)," demikian menurut penganalisis politik Dr Salawati Mat Basir.

"Ia masih tidak dapat menandingi aura ketika PAS berada di dalam PR suatu ketika dahulu. Saya lihat ia (keakraban) masih longgar dan mencari kesesuaian yang kukuh untuk sama seperti dahulu," katanya ketitka diwawancara bersama Antarapos, baru-baru ini.

Salawati terlebih dahulu mengulas pelbagai reaksi dan tanggapan mengenai penubuhan Pakatan Harapan di antara PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) pada 22 September lalu, bagi menggantikan PR yang terkubur kerana perbalahan di antara DAP dan PAS.

Gabungan pembangkang tersebut bagaimanapun tidak disertai oleh PAS yang berkeras tidak mahu menjalin sebarang kerjasama dengan DAP, juga dengan Amanah yang disifatkannya sebagai pengkhianat.

Salawati menegaskan ketiadaan PAS di dalam gabungan baru pembangkang itu satu kerugian,
memandangkan parti tersebut selama ini berjaya meraih sokongan yang besar, terutamanya di kalangan kaum Melayu.

"Ia adalah satu jalan yang sukar kepada pembangkang sebab apabila PAS tidak mahu berada di dalam Pakatan Harapan, ia jelas menunjukkan wujudnya ketidakstabilan, kerana pengaruh PAS bukan sedikit terhadap rakyat dan pembangkang," ujarnya lagi.

Meskipun masih terlalu awal untuk meramal nasib Pakatan Harapan dalam persada politik negara, Salawati, yang juga pensyarah kanan undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu juga berpandangan gabungan itu pasti berdepan dengan liku yang mencabar.

Apatah lagi dengan kemelut yang melibatkan pemimpin PKR yang tidak berpuas hati dengan penubuhan gagasan tersebut dan konflik antara PAS dan Amanah.

"Kegagalan hanya boleh dilihat pada satu jangka masa tertentu. Namun mereka sedang menghadapi perjalanan sukar dan ia bukan mudah kerana perlu mencari semula kekuatan yang pernah ada suatu masa dahulu," katanya.

Tiada ulasan: