Selasa, 13 Oktober 2015

NGO desak SPRM siasat dua anak Dr Mahathir

NGO desak SPRM siasat dua anak Dr Mahathir
Razali Zakaria (tengah) pada sidang media di pejabatnya di Pandan Indah, Ampang, Selangor, hari ini. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN


AMPANG - Pertubuhan Gerakan Martabat Pejuang Negara (GMPN) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana didakwa mempunyai kekayaan luar biasa dalam tempoh singkat.

Presidennya, Mejar (B) Razali Zakaria menegaskan, sudah sampai masanya penguatkuasa itu menyiasat kesahihan bukti yang didedahkan Wall Street Journal (WSJ) dan media sosial yang membabitkan kekayaan Datuk Mokhzani dan Mirzan.

"Siasatan perlu dibuat oleh Peguam Negara tentang bagaimana kesemua anak Dr Mahathir boleh menjadi multi billionaire dalam masa singkat dan menimbulkan tanya tanya daripada masyarakat di negara ini dan dunia.

"Mungkin berlaku penyalahgunaan kuasa ketika era pemerintahan bapanya, Dr Mahathir. Benarkah Dr Mahathir menggunakan syarikat GLC yang besar ketika 22 tahun memerintah untuk kepentingan peribadi anaknya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Anak saya bukan ‘bilionaires’ kata Tun M]

Razali juga berkata, kekayaan yang dimiliki kedua-dua anaknya semakin jelas apabila Mokhzani didakwa mempunyai jumlah aset kereta bernilai RM36 juta manakala Mirzan pula dengan pemilikan 100 syarikat sebagai pemegang saham.

"Segala keraguan ini menjadi tanda tanya dan pelbagai fitnah termasuk Dr Mahathir dan anak-anak beliau mempunyai perasaan busuk hati serta dengki kepada kerajaan sekarang.

"Adakah ini benar dan beliau harus membuang persepsi negatif apatah lagi beliau pemimpin yang dihormati. Tun M harus menjelaskan perkara ini supaya rakyat tidak lagi menabur fitnah dan hasutan kepada mereka sekeluarga," katanya lagi.


Tiada ulasan: