Rabu, 28 Oktober 2015

Najib sembunyi kos jet RM40.8 juta

Oleh: Nadia Hanafi


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak cuba menyembunyikan kos sebenar penggunaan pesawat yang digunakannya dalam tempoh enam bulan.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, kerajaan enggan mendedahkan butiran kos berkenaan ketika ditanya di parlimen pada 22 Oktober lalu.

Berikutan itu, beliau membuat anggaran penerbangan pesawat itu menelan belanja sebanyak RM40.8 juta antara April dan September 2015

Dalam tempoh itu, katanya, pesawat ACJ320 milik kerajaan itu telah membuat penerbangan sebanyak 42 kali.

Rafizi yang juga Naib Presiden KEADILAN berkata, beliau menganggarkan kos sewa jet berkenaan sepanjang tempoh itu adalah sebanyak RM13.3 juta. Manakala kos penyenggaraan, operasi dan pengurusan melibatkan jumlah RM23 juta.

Bagi kos perjalanan luar negara pula, ia dianggarkan berjumlah RM4.5 juta.

“Kalau jumlah ini tidak betul, menteri perlu kehadapan dan beritahu jumlah yang sebenar. Kalau tidak, maknanya jumlah itu betul,” katanya dalam sidang media di lobi parlimen.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said sekadar mendedahkan bahawa pesawat itu membuat 42 penerbangan membawa Yang di-Pertuan Agong, Najib dan timbalannya ke majlis rasmi.

Menurut Rafizi, ia bermakna jet tersebut membuat purata 7 perjalanan setiap bulan antara April dan September.

“Keengganan perdana menteri mendedahkan butiran perjalanan serta kos perjalanan menunjukkan beliau tahu maklumat ini akan menimbulkan kemarahan rakyat.

“Apabila kerajaan enggan mendedahkan maklumat berkepentingan awam kerana melibatkan dana rakyat, ia menggambarkan perdana menteri sendiri mengakui bahawa perbelanjaan itu tidak berhemah sehingga perlu disembunyikan,” katanya.

Tiada ulasan: