Selasa, 13 Oktober 2015

Himpunan Hijau: Pas bukan hendak tunjuk hero




Nik Abduh Nik Abdul Aziz
Nik Abduh. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB


KUALA LUMPUR - Penganjuran Himpunan Fastaqim (H60K) yang bakal diadakan di Kota Bharu pada 17 Oktober ini bukan untuk bersaing dengan himpunan lain sebaliknya hanya untuk menyatukan penyokong Pas.

Pengarah himpunan itu, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, sebelum ini, ramai orang bertanya kepadanya berhubung penganjuran himpunan itu dan menyifatkan seolah-olah H60K mahu menjadi juara di sebalik penganjuran himpunan-himpunan sebelum ini.

"Ramai kata kita cuba bersaing, kalau dilihat Himpunan Bersih 4.0 kita tidak perlu bersaing kerana kita benarkan ahli kita pergi, sementara Himpunan Baju Merah pula kita tidak perlu bersaing sebab kita memang bersaing sejak dahulu lagi dengan mereka (merujuk kepada Umno).

"Jadi saya hendak nafikan perkara ini, dan ia tiada kaitan langsung‎, kita buat untuk kukuhkan parti dan untuk rakyat lihat bahawa  kita mampu menangani isu dalaman parti dengan cepat," katanya ketika menjadi panel dalam Forum Bicara Harakah di ibu negara, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: H60K terbuka kepada semua]

[ARTIKEL BERKAITAN: Warna hijau tapi H60K terbuka kepada semua]


Dalam pada itu, ketika mengulas lanjut, Nik Abduh berkata, terdapat beberapa signifikan di dalam penganjuran himpunan itu disamping pemilihan simbol angka 60.

"Saya boleh sebut kita pilih angka 60 ribu ini sempena dengan umur 60 tahun Pas Kelantan,  dan Pas sendiri  64 tahun walaupun sasaran kita harap himpunan itu dihadiri lebih 60 ribu.

"Tujuan himpunan ini adalah untuk mengukuhkan kekuatan Pas itu tujuan sebenar dan itu sambungan kepada himpunan Pas sebelum ini dengan niat hampir sama untuk mengukuhkan kesepaduan Pas.

"Untuk Pas dilihat sebagai sebuah parti yang kukuh dan bersatu yang layak untuk memimpin negara Malaysia, sebagai sebuah parti yang bercita-cita tinggi untuk sampai ke Putrajaya dengan membawa agenda Islam dalam pemerintahan Malaysia," katanya.


Tiada ulasan: