SUBANG,  Misi memadam kebakaran di Indonesia membabitkan pesawat Bombardier CL 415 MP mencapai objektif di Selatan Sumatera namun masih banyak yang perlu dilakukan.


Pengerusi Majlis Keselamatan Negara, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, misi yang dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) adalah satu kejayaan.

Pesawat terbabit tiba di Subang pada jam 1.10 petang untuk penyelenggaraan selepas lebih seminggu berada di Indonesia.

Katanya, satu lagi pesawat Bombardier diperlukan untuk kerja pemadaman yang lebih efisien.

“Saya telah cadangkan kepada kerajaan sejak bertahun lalu. Kita perlukan lagi satu.

“Kerajaan juga pernah membincangkan untuk pembelian helikopter bagi semua cuaca,” katanya pada sidang media di Pangkalan Udara TUDM Subang Jaya, hari ini.

25 pegawai APMM terbabit dalam misi tersebut dan telah menjalankan 176 bom air ke atas kawasan seluas 157 kilometer persegi.

Misi terbabit memakan masa 36 jam dan 6 minit.

Shahidan berkata, pesawat berkenaan dibawa pulang untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

“Ia perlu diselenggara 100 jam sebelum boleh dihantar semula. Ini kerana pihak Indonesia masih memerlukan bantuan,” katanya.

Katanya, penggunaan pesawat Bombardier adalah satu kejayaan dan banyak negara yang mengiktiraf kebolehannya.

“Pesawat itu boleh terbang 100 kaki dari permukaan darat yang membolehkannya mengangkut air dan melepaskannya ke kawasan yang terlibat.

“Kita merupakan yang paling efektif dalam menggunakan kaedah ‘water scooping’ untuk memadamkan kebakaran,” katanya.

Shahidan berkata, keberkesanan kaedah yang digunakan itu menarik minat negara lain.

Katanya, penghantaran pesawat ke Indonesia untuk membantu memadamkan kebakaran itu dibuat berikutan keadaan jerebu yang teruk melanda negara yang memberi kesan kepada rakyat di negara ini.