Sabtu, 10 Oktober 2015

Malaysia negara pariah-Tun M

 
Beliau mendakwa SOSMA telah disalah guna untuk menangkap sesiapa sahaja bagi melindungi kedudukan Najib


MAHATHIR


PETALING JAYA: Malaysia telah menjadi sebuah negara pariah, di mana sesiapa sahaja boleh ditahan, disoal siasat dan didakwa tanpa pembelaan.

Tidak terkecuali, peguam yang menggendalikan kes berkenaan turut berdepan dengan tindakan yang sama.

Dakwaan itu dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad yang kecewa dengan ketelusan Jabatan Peguam Negara.
Katanya, meskipun banyak laporan yang dibuat berhubungsalah laku yang membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, tetapi tiada tindakan diambil.

Sebaliknya, mereka yang mengkritik dan menegur kesilapan akan berdepan dengan tindakan undang-undang termasuk ditahan.

Mengulas mengenainya, Dr Mahathir berkata, kerajaan telah menyalah guna Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (SOSMA) 2012.

“Penangkapan Dato Khairuddin dan peguamnya Matthias Chang telah menimbulkan perasaan takut di kalangan orang ramai bahawa melaporkan tentang salah laku kerajaan dan pegawai-pegawainya merupakan ancaman kepada keselamatan. Pemberi maklumat yang Kerajaan dikatakan menggalakkan, kini menghadapi bahaya dituduh mengancam keselamatan negara.

“Dengan ini titah oleh Raja-Raja untuk pemeriksaan dijalankan secara adil dan telus tidak lagi boleh dicapai.

“Terdapat berpuluh-puluh orang yang mempunyai maklumat tentang salah laku dalam 1MDB yang tidak akan mengambil risiko memberi keterangan atau membuat tuduhan kerana mereka menghadapi risiko ditahan dan didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan,” tulis beliau di blognya chedet.cc.

Jelas Dr Mahathir lagi, keadaan itu menyebabkan siasatan berhubung 1MDB dan AS Dollar 700 juta ke dalam akaun peribadi Najib telah tergendala ekoroan pemecatan Peguam Negara, pemindahan pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pengebirian Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) dan ancaman tersirat terhadap Bank Negara.

Tiada ulasan: