KUALA LUMPUR,  Malaysia bukan negara yang menjadi tempat perlindungan pengganas, tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Berdasarkan risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Malaysia hanyalah negara transit, sebelum pengganas menuju ke negara ketiga.

“Kenyataan Ahli Parlimen Lenggong bahawa pengganas antarabangsa memilih Malaysia sebagai tempat perlindungan, tidak dapat disahkan kebenarannya.

“Saya ingin memaklumkan, tahap keselamatan negara berada dalam tahap yang sangat baik dan terkawal dari segi ancaman anasir pengganas dalam dan luar negara,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah yang meminta kementerian itu menyatakan tahap keselamatan negara ketika ini dan mengapa pengganas antarabangsa memilih Malaysia sebagai tempat perlindungan.

Kata Zahid, ada segelintir rakyat Malaysia yang terpengaruh dengan elemen kumpulan pengganas, seperti Islamic States (IS) dan lain-lain.

“Sehingga hari ini, pihak polis berjaya menahan 132 orang yang terlibat dengan elemen-elemen pengganas, termasuk IS, hasil kerjasama dengan agensi perisikan antarabangsa.

“Daripada jumlah ini, seramai 123 orang ditangkap kerana terlibat dengan elemen IS yang semuanya telah diambil tindakan seperti berikut, iaitu 22 orang diambil tindakan di bawah POCA (Akta Pencegahan Jenayah), 38 orang dibebaskan, 48 orang sedang didakwa, 14 orang telah diusir keluar negara dan seorang masih dalam siasatan,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri itu tidak mendedahkan secara terperinci maklumat mereka, kerana masih ada siasatan yang sedang dijalankan polis.