shahbudindotcom
Ahli
Parlimen Rompin, Hassan Ariffin akhirnya dilantik mengetuai
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC bagi menggantikan Nur Jazlan
Mohamed yang tiba-tiba dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Menteri Dalam
Negeri pada 28 Julai lalu ketika jawatankuasa itu sedang menjalankan
tugas menyiasat 1MDB.
Meskipun
berdepan tugas berat untuk menyiasat 1MDB yang sudah agak lama
tergendala, di bahu Hassan kini terletak harapan untuk merungkai segala
kekusutan tentang syarikat pelaburan yang sarat dengan hutang itu.
Harapan
ramai juga ialah untuk melihat PAC dibawah kepimpinan Hassan ini akan
meneruskan tugasnya memanggil semula semua saksi-saksi yang sudah
disenaraikan sebelum ini seperti Jho Low serta CEOnya sekarang, Arul
Kanda Kandasamy sendiri.
Tambahan
lagi, ketika Nur Jazlan mengetuai PAC, beliau sudah mengumumkan akan
memanggil Jho Low untuk memberikan keterangannya berdasarkan laporan
interim Ketua Audit Negara yang dikeluarkan mengenai 1MDB.
Lain-lain
saksi yang pernah disebut oleh Nur Jazlan akan turut dipanggil
antaranya ialah Ketua Pegawai Pelaburan 1MDB, Vincent Koh Beng Huat,
Penasihat Undang-undang 1MDB, Ivan Cheng, Lembaga Pengarah 1MDB
International Holding Limited, Shahrul Azral Ibrahim Helmi dan Jasme Loo
Aiwan serta Pengarah Brazen Sky, Azmi Tahir.
Syarikat
pengauditan 1MDB iaitu Deloitte, KPMG dan Ernst & Young juga
dikatakan akan dipanggil semula memberi keterangannya bagi menjelaskan
beberapa perkara yang dibangkitkan dalam laporan awal Ketua Audit Negara
itu.
Maka,
sudah semestinya Hassan wajib meneruskan usaha dan kerja kerasnya untuk
memastikan Jho Low serta semua yang sudah disenaraikan itu dapat
memberi keterangannya di hadapan PAC.
Kegagalan
Hassan bertegas mengenai keperluan memanggil mereka, khususnya Jho Low
untuk memberi keterangan tentu saja akan meleburkan keyakinan
orangramai, bukan saja terhadap PAC, tetapi juga kewibawaannya sebagai
pengerusi jawatankuasa itu.
Selain
itu, dilaporkan juga kedudukan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony
Pua dalam PAC mungkin tergugat berikutan kelantangannya membuat
kenyataan umum mengenai 1MDB sebelum siasatan jawatankuasa itu tamat.
Ramai pihak menyifatkan tindakan beliau itu melanggar etika dan menggesa beliau digugurkan daripada PAC.
Hassan
turut mengesahkan mesyuarat PAC akan datang bakal menentukan kedudukan
Tony Pua dalam jawatankuasa itu dengan mengatakan ia akan dibincangkan
dalam mesyuarat pertama yang akan dipengerusikannya nanti.
Jika
dilihat daripada awalnya, tertangguhnya siasatan PAC terhadap 1MDB
ialah kerana empat ahli jawatankuasanya daripada BN, termasuk
Pengerusinya ketika itu, Nur Jazlan telah dilantik oleh Najib
menganggotai pentadbiran kerajaan dalam rombakan kabinetnya yang
bersekali dengan pemecatan Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal kerana
kelantangan mereka bersuara mempertikaikan mengenai syarikat pelaburan
tersebut.
Perlantikan itu secara langsung menjadikan PAC yang sudah mula berjalan dengan penyiasatannya terhadap 1MDB, lumpuh serta merta.
Maka
itu, seharusnya agenda mesyuarat pertama Hassan hanyalah untuk
memastikan perlantikan wakil-wakil daripada BN untuk mengisi kekosongan
saja dan biarlah wakil-wakil lama daripada pembangkang, termasuk Tony
Pua, dikekalkan dalam jawatankuasa itu.
Perubahan
wakil daripada pembangkang, kalau mahu dilakukan juga, hanya perlu
melibatkan Pas dan Amanah saja, tetapi wakil daripada PKR dan DAP
seharusnya tidak terjejas.
Jika
Hassan cuba membincangkan agenda untuk menukar Tony Pua dengan orang
lain, tentu saja yang pertama melintas di fikiran ramai ialah beliau
seolah-olah cuba untuk "mengambil hati" Najib mengenainya.
Dengan itu, keyakinan orangramai terhadap PAC dalam mencari kebenaran mengenai 1MDB juga tidak akan bermakna lagi.
Jika
Tony Pua didapati melanggar mana-mana etika, beliau hanya perlu diberi
peringatan atau amaran saja agar tidak mengulanginya lagi masa depan
dengan memintanya menumpukan segala perhatian menyoal saksi-saksi yang
bakal dipanggil PAC nanti secara tertutup dan profesional, tetapi bukan
dengan menggugurkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan