Rabu, 28 Oktober 2015

Kes fitnah selesai, PM terima permohonan maaf Nizar Jamaluddin

THE MALAYSIAN INSIDER

Bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dilepas dan dibebaskan mahkamah selepas memohon maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 Oktober, 2015.Bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dilepas dan dibebaskan mahkamah selepas memohon maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
 Bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang didakwa atas tuduhan memfitnah Datuk Seri Najib Razak, dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen di Ipoh selepas beliau memohon maaf secara terbuka kepada perdana menteri.
 
Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin membuat keputusan itu selepas Ketua Unit Pendakwaan Negeri Perak Yusaini Amer Abdul Karim memaklumkan perdana menteri bersetuju kes itu dikompaun mengikut Seksyen 260 Kanun Prosedur Jenayah.

Ikmal Hishan memerintahkan anggota Dewan Undangan Negeri Changkat Jering itu membaca permohonan maaf berkenaan di dalam mahkamah bagi memudahkan beliau mencatatkannya dalam rekod prosiding kes tersebut.

Nizar kemudian memohon maaf secara terbuka dan memaklumkan beliau kini menyedari kenyataannya terhadap Najib, seperti yang disebut dalam pertuduhan adalah tidak berasas. "yang demikian, saya dengan ikhlas dari hati ingin memohon maaf kepada Datuk Seri Najib Razak dan berjanji akan lebih berhati-hati supaya kejadian seumpamanya tidak akan berulang lagi," katanya.

Terdahulu, Yusaini berkata perdana menteri menerima surat permohonan maaf daripada Nizar pada 22 Oktober lepas.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersetuju supaya kes ini dikompaunkan, dengan izin mahkamah, serta meminta Nizar membuat permohonan maaf secara terbuka dan beliau sedia menerima permohonan maaf itu," katanya.

Nizar, 58, yang beralamat di Sungai Rokam di Ipoh didakwa memfitnah Najib dalam ucapannya kepada orang ramai di Taman Desa Pakatan, antara pukul 9 malam dan 12 tengah malam, 23 April 2012.

Bekas timbalan pesuruhjaya PAS Perak itu didakwa mengetahui tohmahan seperti yang terkandung dalam transkrip ucapan dalam Lampiran A, yang disertakan bersama-sama kertas pertuduhan itu, akan merosakkan nama baik Najib.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 2 tahun atau didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 13 Januari lepas, Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Nizar daripada pertuduhan memfitnah Najib selepas membenarkan bantahan awal pihak pembelaan yang diketuai Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden Mohd Yusof berhubung isu pengadu dalam kes itu.


Tiada ulasan: