KUALA KRAI,  Pelbagai langkah dan strategi diatur oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan dalam usaha menghadapi kemungkinan banjir di negeri berkenaan, tahun ini.

Pengarah JBPM Kelantan, Azmi Osman berkata persiapan yang dibuat adalah berdasarkan pengalaman menghadapi banjir besar pada tahun lalu.

“Antara strategi diambil adalah kita akan mengerakkan beberapa bot lebih awal ke kawasan berisiko tinggi seperti Gua Musang, Kuala Krai dan Pasir Mas.

“Kita juga menambah beberapa kenderaan di laluan darat seperti tiga buah lori bagi membantu melancarkan operasi menyelamat,” katanya ketika ditemui pemberita pada Kursus Pengurusan Bencana Peringkat Komuniti di sini, hari ini.

Kursus bermula hari ini dan berakhir Selasa, melibatkan lebih 100 ketua komuniti di seluruh Jajahan Kuala Krai.

Dalam pada itu, Azmi berkata ketua komuniti juga memainkan peranan penting dalam membantu agensi keselamatan menghadapi bencana banjir.

“Mereka perlu tahu keadaan dan situasi yang dihadapi dan secara tidak langsung ia membantu setiap agensi terutama bomba untuk memberi bantuan dengan lancar dan cepat.

“Selain itu, masyarakat juga harus memberi kerjasama kepada agensi terlibat supaya segala kesulitan yang dihadapi akan dapat diatasi dengan sebaik mungkin,” katanya.

Kursus berkenaan turut mendapat kerjasama Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai, Majlis Keselamatan Negara, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Meteorologi Malaysia