Khamis, 1 Oktober 2015

KEADILAN arah anggota demo pertahan Masjid Al-Aqsa

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR - KEADILAN mengarahkan anggotanya untuk turun berhimpun esok bagi membantah pencerobohan rejim Zionis ke atas Masjid Al Aqsa, kata Naib Presidennya, Rafizi Ramli.

Ia berikutan tindakan rejim Israel menyerbu Masjid Al Aqsa sehingga menyebabkan pertempuran terbaharu antara polis Israel dan penduduk Palestin baru-baru ini.
Masjid Al Aqsa
Katanya, tindakan rejim Israel itu tidak menghormati kedudukan Masjid Al-Aqsa sebagai salah satu masjid paling suci bagi penganut agama Islam di seluruh dunia.

“Lantaran itu, satu gabungan Selamatkan Al-Aqsa telah ditubuhkan dan dipelopori oleh aktivis-aktivis Palestin di negara ini.

“Satu demonstrasi mengutuk pencerobohan Al-Aqsa oleh rejim Zionis ini juga akan diadakan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat pada Jumaat, 2 Oktober 2015 selepas solat Jumaat,” katanya pada kenyataan media.

Menurut Rafizi, KEADILAN menyokong sepenuhnya perjuangan pembebasan rakyat Palestin dan mempertahankan Al-Aqsa daripada diceroboh.

Beliau juga telah mengeluarkan pekeliling kepada semua anggota dan pimpinan KEADILAN untuk turut bersama-sama hadir dalam demonstrasi itu, esok.

Pada masa sama, katanya, Pengerusi Biro Antarabangsa KEADILAN, Gooi Hsiao Leung akan membawa isu ini kepada Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman agar Malaysia menggunakan kedudukannya di Majlis Keselamatan PBB untuk melindungi rakyat Palestin dan mempertahankan Al-Aqsa daripada dicerobohi.

“Saya menyeru seberapa ramai rakyat Malaysia untuk menyertai demonstrasi esok demi mengangkat perjuangan sejagat membela rakyat Palestin yang telah ditindas sekian lama,” tegasnya.

Sementara itu  ribuan anggota daripada lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan dilapor akan berhimpun di hadapan kedutaan Amerika Syarikat esok yang dinamakan sebagai ‘Hari Kemarahan’.

Menurut jurucakap Sekretariat Kempen Selamatkan Al-Quds, Mohamad Raimi Ab Rahim pihaknya juga akan menyerahkan memorandum bantahan kepada kedutaan Amerika Syarikat yang juga sekutu rapat Israel.

Tiada ulasan: