Isnin, 19 Oktober 2015

Jerebu: Sekolah di Selangor dan di beberapa negeri ditutup 20 Oktober

Oleh: NORHAYATI UMOR


SHAH ALAM: Semua sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Kuching, Samarahan, Tawau, Lahad Datu, Semporna, Kunak, Muar, Ledang, Segamat ditutup esok (20 Oktober) ekoran bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) masih di tahap tidak sihat.

Dalam kenyataan media Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), memaklumkan penutupan itu membabitkan sejumlah 3,029 sekolah dan seramai 1,909,842 murid.

jerebu

Kualiti udara yang tidak sihat itu menyebabkan penutupan sekolah pada hari ini (Isnin).

“Berdasarkan pemantauan Kementerian setakat jam 1 petang tadi, kualiti udara masih mencatatkan IPU tidak sihat, oleh itu, penutupan sekolah dikekalkan untuk esok.

“Pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Negeri serta daerah terbabit perlu memaklumkan kepada ibu bapa  penutupan ini,” katanya.

Pihak jabatan juga perlu sentiasa memantau IPU di kawasan masing-masing untuk mengetahui tahap kualiti udara.

CRqspWIVAAAg5z0Sekiranya didapati tidak sihat atau sangat tidak sihat, maka pihak berkenaan boleh mengambil tindakan di peringkat masing-masing seperti ditetapkan  KPM.

Setakat jam 1 petang tadi, sebanyak 17 kawasan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat melebihi 100.

Laporan di laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan empat kawasan di Selangor masih kekal berada di zon kuning iaitu Banting dengan bacaan 164, Pelabuhan Klang (144), Petaling Jaya (136) dan Shah Alam (140).

Bacaan tertinggi dicatatkan di Negeri Sembilan iaitu Seremban dengan 198 selain Nilai (160) dan Port Dickson (154).

Masih kekal tidak sihat juga Bandaraya Melaka dengan bacaan 156 dan Bukit Rambai (158) selain Batu Muda, Kuala Lumpur (164), Cheras (131) dan Putrajaya (152).

Selain itu, beberapa kawasan di Johor juga kembali mengalami udara tidak sihat iaitu di Larkin Lama dengan bacaan 103, Muar (135) dan Pasir Gudang (102).

Kawasan lain termasuk Tanjung Malim, Perak (106), Tawau, Sabah (159) dan Kemaman, Terengganu (103).EZY


Tiada ulasan: