Selasa, 20 Oktober 2015

Jerebu kuning: Menteri nasihatkan rakyat guna topeng







Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam hari ini menasihatkan rakyat supaya mengambil langkah segera menggunakan topeng hidung dan mulut bagi mengelakkan terkena habuk terampai yang dibawa menerusi jerebu berwarna kuning.

Katanya, jerebu itu dipercayai mengandungi pelbagai jenis partikel yang boleh menjejaskan kesihatan, sekali gus memberi kesan teruk kepada orang awam, khususnya warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan.

"Nasihat saya, elak keluar rumah atau pejabat. Kurangkan pendedahan udara kotor dan jika terpaksa, pakailah topeng hidung dan mulut.

"Mereka yang ada tanda sesak nafas, penyakit jantung dan asma diminta segera ke klinik atau hospital berhampiran secepat mungkin," katanya yang dipetik portal Berita Harian Online sebelum merasmikan Konvensyen Khas Badan Perhubungan MIC negeri, di Melaka.

Subramaniam berkata, klinik dan hospital kerajaan di seluruh negara sentiasa bersedia untuk memberikan rawatan terbaik kepada orang ramai yang mengalami masalah pernafasan itu.

Kualiti udara di kebanyakan negeri terus merosot pada petang ini dan beberapa kawasan menunjukkan perubahan warna jerebu menjadi kekuningan.

Beberapa gambar yang menjadi viral di media sosial menunjukkan keadaan jerebu yang bertukar warna sekali gus menimbulkan kerisauan dalam kalangan orang ramai.

Berita Harian Online juga memetik Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mastura Mahmud, berkata fenomena jerebu kuning ini disebabkan oleh tindak balas kimia yang bercampur dengan pencemaran udara yang sedia ada.

Katanya, kawasan yang menjadi tumpuan seperti Lembah Klang mempunyai peratusan pencemaran udara yang agak tinggi namun ia tidak dapat dilihat kerana ketiadaan jerebu.

"Bila jerebu melanda negara kita, keadaan ini bertambah teruk kerana tindak balas kimia itu tadi. Ia bercampur dengan asap kenderaan dan kilang.

"Ini kerana campuran debu, asid sulfurik, asid nitrik dan partikel jerebu yang lain, menyebabkan kepekatan itu bertambah dan akhirnya terjadi jerebu kuning. Bagaimanapun masih belum ada keputusan mengenai adakah ia sudah menjadi gas toksik.

"Jika di Indonesia sebagai contoh di Jambi, Riau memang jerebu di sana bertukar menjadi gas bertoksik dan berbahaya kepada kesihatan manusia, haiwan dan alam. Ia bercampur dengan pencemaran dan cuaca di sana yang ketika ini kemarau," katanya yang dipetik portal itu.

1 ulasan:

aku berkata...

MasyaAllah hebatnya kuasa Allah.