Ahad, 4 Oktober 2015

Jerebu: Jangan komitmen atas kertas sahaja

SINAR HARIAN


Ahmad Zahid Hamidi
Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Asean mengenai Kebangkitan Keradikalan dan Keganasan Ekstrimisme hari ini. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Malaysia mahu Indonesia memberikan komitmen lebih serius dalam menangani jerebu memandangkan masalah itu sering kali berulang hampir setiap tahun, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
  
Beliau berkata, meskipun kepimpinan dan rakyat Indonesia dilihat prihatin  terhadap keadaan itu namun dirasakan sesuatu yang diusahakan belum mencukupi untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

"Dalam hal ini, kita amat berterima kasih jika pihak Indonesia dapat berbincang dengan rakan-rakan di kalangan negara Asean untuk mengambil langkah jangka panjang.
  
"Kita harap komitmennya bukan hanya di atas kertas atau kenyataan yang sekadar menjadi halwa telinga tetapi melalui pelaksanaan yang boleh mengakhiri semua permasalahan itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program U-TURN di sini, hari ini.

Program terbitan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerjasama TV Al-Hijrah itu bertujuan membolehkan masyarakat didedahkan dengan keberkesanan
sistem parol terhadap banduan, keluarga dan komuniti.
  
Rancangan berbentuk bual bicara dengan 13 episod berkonsepkan elemen majalah tersebut akan bersiaran setiap Ahad pukul 9.30 malam mulai 11 Oktober.
  
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata sistem Parol berjaya membantu mengurangkan kadar jenayah kesalahan berulang sebanyak 7.6 peratus tahun ini.
  
Beliau berkata itu merupakan kejayaan terbaik kerana di dalam penjara bukan sekadar tempat untuk hukuman tetapi lebih kepada pemulihan.
  
"Sistem Parol memberikan peluang kedua kepada banduan untuk bergaul dengan masyarakat agar tidak dipandang negatif oleh mereka (masyarakat).
  
"Selain pihak polis, sistem itu dilakukan dengan kerjasama beberapa syarikat korporat seta tokoh dakwah dalam usaha untuk memulihkan banduan," katanya.
  
Menerusi Sistem Parol, banduan boleh memilih dua kaedah sama ada tinggal dengan keluarga ketika menjalani pemulihan atau tinggal di dalam penjara berdasarkan pelepasan secara perintah parol, sekali gus dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan penjara. - Bernama


Tiada ulasan: