KUALA LUMPUR,  Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa kerajaan supaya tidak menjual negara, susulan rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dirumuskan, baru-baru ini.

 

Presidennya, Mohammad Fazril Mohd Saleh menegaskan, pihaknya tidak akan mudah berpuas hati dengan jaminan diberikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, bahawa “kerajaan akan memastikan semua aspek yang menjadi keprihatinan dan sensitiviti Malaysia diambil kira.”

Ini kerana, jelasnya, selepas lima tahun “penelitian” dan “kajian” dibuat oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dengan pelbagai rintihan dan kerisauan rakyat, kerajaan masih yakin “TPPA baik untuk negara”.

“Dalam hiruk-pikuk keresahan rakyat dengan situasi ekonomi gawat hari ini, mana mungkin kami boleh berasa yakin dengan kebolehan negara menangani TPPA, sedangkan skandal besar politik dan ekonomi negara yang melibatkan kepimpinan tertinggi negara pun, kerajaan tak mampu mengendalikannya.

“Inikan pula isu yang mungkin berbangkit dengan pihak pelabur luar, dengan peruntukan perundangan ISDS (Investor-State Dispute Settlement’ atau Penyelesaian Pertelingkahan Pelabur-Negara) dalam TPPA ini?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohammad Fazril turut mempersoalkan cara kerajaan mengawal harga barangan, seperti ubat-ubatan dan buku, jika tempoh paten dan hak cipta dilanjutkan, kerana dakwanya, kerajaan gagal mengawal kesan kenaikan harga barang, selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), sejak 1 April lalu.

“Kesimpulannya, kami meragui TPPA seluruhnya. Memang kami ragu-ragu dengan kerajaan. Jangan gadai masa depan kami. PKPIM bersama dengan pertubuhan pelajar dan mahasiswa akan terus mendesak kerajaan dalam isu ini,” tegasnya.

Semalam, Mustapa dalam satu kenyataan memaklumkan, rundingan TPPA yang dirumuskan baru-baru ini bersetuju untuk mempertimbangkan hampir semua kebimbangan dan sensitiviti yang dibangkitkan Malaysia, seperti isu pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara dan Bumiputera.

Jelasnya, butiran fleksibel diberikan kepada Malaysia, termasuk tempoh peralihan lebih panjang dan layanan berbeza bagi perkara yang sensitif kepada negara.

Mustapa turut memberi jaminan kerajaan akan mengadakan rundingan penuh dengan pihak-pihak berkepentingan serta orang awam.

“Sebaik sahaja teks rasmi perjanjian siap dan disediakan, ia akan dibawa kepada pengetahuan umum dan dibentangkan di Parlimen untuk dibahas,” kata Mustapa.