Isnin, 5 Oktober 2015

Hudud: Mahkamah Tinggi tolak bantahan awal Hadi Awang [KEMASKINI]

Oleh Azizul Osman 

 
Post Pic


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak bantahan awal yang dibuat oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap saman yang difailkan empat individu untuk menyekat perbentangan rang undang-undang persendirian mengenai hukum hudud di Parlimen.
 
Menurut peguam yang mewakili Abdul Hadi, Datuk Takiyuddin Hassan, hakim membuat keputusan berkenaan selepas mengambil kira permohonan bantahan yang dibuat secara tergesa-gesa.
 
Sebelum ini Mahkamah Tinggi menangguhkan pendengaran keputusan mahkmah berhubung bantahan awal yang dibuat Abdul Hadi dan juga Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia serta timbalannya Datuk Ismail Mohamed Said, Datuk Ronald Kiandee dan Datuk Roosme Hamzah.
 
"Mahkamah hendak mendengar permohonan dahulu jadi bantahan awal itu tidak dibenarkan. Atas sebab bantahan awal dibuat secara serta-merta tanpa dibantu dengan hujahan oleh kedua-dua pihak", katanya yang juga Setiausaha Agung PAS ketika ditemui media di luar kamar.
 
Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Amabi Mohamad turut menetapkan tarikh perbicaraan bagi mendengar permohonan Hadi untuk membatalkan kes itu 13 Oktober depan serta permohonan injuksi empat plaintif terhadap rang undang-undang berkenaan.
 
Abdul Hadi selaku defenden bagaimanapun tidak hadir hari ini.
 
"Pada pandangan kita, perlu dibuat mengikut semakan kehakiman, jadi Hakim tetapkan tidak membenarkan bantahan awal dan beliau (Hakim) akan mendengar semua permohonan terlebih dahulu", katanya. 
 
Jun lalu, empat individu bertindak memfailkan permohonan untuk mencabar rang undang-undang persendirian, bagi membuka laluan kepada pelaksanaan hudud dibentangkan di parlimen.
 
Mereka adalah Mansoor Saat, Azira Aziz, Hasbeemaputra Abu Bakar dan Hazwany Jamaluddin yang memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
 
Permohonan itu dibuat kerana berdasarkan pembentangan rang undang-undang berkenaan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
 
Mereka juga memohon injunksi bagi menghalang Dewan Rakyat membahaskan rang undang-undang tersebut.
 
Mac lalu, Abdul Hadi mengemukakan notis kepada Parlimen bagi membawa rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965.
 
Bagaimanapun Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) tidak dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat sebelum ini kerana kesuntukan masa.
 
Sebelum ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) pada 19 Mac lalu bagi membolehkan undang-undang hudud dilaksanakan di Kelantan. 
 
Usaha Hadi membentangkan rang undang-undang individu mengenai hukum hudud itu adalah untuk memberi kuasa kepada mahkamah syariah Kelantan mengeluarkan hukuman berkaitan hudud. 


Tiada ulasan: