Jumaat, 30 Oktober 2015

Hentikan aktiviti pertanian di kawasan empangan di Melaka

MALAYSIAKINI


 


Kerajaan negeri Melaka menggesa semua akiviti pertanian di kawasan empangan dan tadahan air di sekitar negeri ini dihentikan segera bagi mengelak sebarang pencemaran bekalan air penduduk setempat.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron bekata larangan untuk segala aktiviti pertanian di kawasan berkenaan terutama di Empangan Jus Jasin dan Empangan Durian Tunggal Alor Gajah itu diwartakan pada 2010.

"Kami lihat aktiviti ini semakin berleluasa dan tiada kesedaran petani untuk menghentikannya. Gesaan ini dibuat hasil taklimat Badan Kawal Selia Air Melaka bahawa dasar tasik menunjukkan perubahan hingga menjadi tinggi, menyebabkan pengurangan paras air di kawasan berkenaan.

"Pemeriksaan beberapa jabatan berkaitan terutama Jabatan Kimia mendapati terdapat unsur yang menimbulkan keraguan yang mungkin boleh menyebabkan pencemaran air berlaku di kawasan itu," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri semalam.

Beliau berkata penerangan dan taklimat kini giat diberikan kepada semua petani yang terlibat dalam aktiviti pertanian di kawasan berkenaan bagi meningkatkan kesedaran terhadap isu tersebut.

Sementara itu, Idris berkata semua agensi dan jabatan kerajaan negeri di Melaka diarah bersiap sedia bagi menghadapi situasi banjir yang dijangka berlaku pada musim tengkujuh ini.

Beliau berkata persiapan itu termasuk menyelenggara sistem, sungai dan laluan agar sentiasa dalam keadaan baik bagi mengelak air bertakung sekali gus mengakibatkan banjir.

Dalam perkembangan lain, katanya Melaka dipilih sebagai tuan rumah Majlis Rumah Terbuka Sambutan Krimas Peringkat Kebangsaan 2015 yang akan diadakan di hadapan Memorial Pengisytiharaan Kemerdekaan di Banda Hilir pada 27 Disember depan.

Beliau berkata sambutan dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bermula 8 malam hingga 10 malam dan pelbagai aktiviti turut dijalankan sepanjang hari itu bermula 2 petang.- Bernama


Tiada ulasan: