Khamis, 1 Oktober 2015

"Dunia ini tak seperti Terengganu": Khalid Samad tegur sikap PAS

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic


SHAH ALAM: PAS perlu mengambil kira realiti politik semasa, terutamanya dalam pakatan kerajaan di Selangor dalam menentukan kerjasamanya dengan PKR, termasuk DAP.

Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berpendapat sikap PAS yang tidak berpijak di bumi yang nyata menjadikan ia sebagai masalah yang sekian lama dihadapi parti berkenaan.

"PAS patut mengambil kira suasana di Selangor. Mengikut kata-kata pujangga, orang-orang di Makkah lebih tahu jalan-jalan di Kota Makkah. Maka, PAS juga patut dengar cakap PAS Selangor. Itu pandangan peribadi saya.

"Tetapi jika PAS mahu buat keputusan mengikut suasana di Terengganu, mereka boleh teruskan. Dan itulah yang menjadi masalah apabila PAS dikuasai oleh pemikiran PAS Terengganu yang menganggap dunia ini seperti Terengganu," ujarnya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.

Khalid berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dewan Ulama PAS yang mahu parti itu mempertimbangkang keputusan untuk keluar daripada pakatan kerajaan Selangor.

Keputusan itu wajar sebagaimana menurut Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed setelah DAP membentuk pakatan pembangkang yang baru tanpa PAS, baru-baru ini.

DAP, PKR dan parti baru Parti Amanah Negara (Amanah) menubuhkan gabungan pembangkang baru, Pakatan Harapan, pada 22 September lalu.

Ia susulan terkuburnya Pakatan Rakyat selepas tercetusnya pertelingkahan di antara DAP dan PAS.

Cadangan PAS keluar daripada pakatan kerajaan Selangor bagaimanapun tidak dipersetujui oleh kepimpinan PAS Selangor yang mahu meneruskan kerjasama dnegan kerajaan negeri sebagaimana yang pernah diputuskan dalam Muktamar Tahunan PAS yang diadakan awal Jun lalu.

Khalid dalam pada itu menegur kepimpinan PAS supaya dapat membuat pendirian yang kukuh dalam isu itu.

"Apabila dah buat keputusan, janganlah ia bertukar-tukar. Sekejap mahu bersama, sekejap tidak mahu.
Pada saya ini masalah yang dihadapi PAS selama ini, tetapi saya tidak mahu campur. Terserah kepada kepimpinan PAS untuk memutuskan mahu bersama atau sebaliknya," ujar Ahli Parlimen Shah Alam itu.

Tiada ulasan: