KUALA LUMPUR,  Kerajaan perlu mengambil pandangan pelbagai pihak sama ada dari dalam dan luar kerajaan untuk mengetahui situasi sebenar dan keperluan peniaga serta kehendak rakyat.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata selama ini pemimpin dalam kerajaan hanya akan diceritakan dengan isu yang elok sahaja tetapi terlepas pandang keperluan sebenar mereka.

“Kita perlu tahu perkara yang lebih tepat untuk mengukur dan mengetahui keadaan sebenar untuk membuat keputusan yang lebih baik.

“Hal ini penting bagi memastikan urusan perniagaan dan ekonomi dapat lebih berkembang dengan lebih maju di masa akan datang,” katanya ketika memberi ucapan dalam majlis minum petang Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di sini hari ini.

Jelas Muhyiddin lagi, dalam situasi ekonomi pada hari ini kerajaan perlu memberi penerangan mengenai keadaan semasa kerana banyak menimbulkan tanda tanya dan perlu diberi penjelasan terperinci.

“Situasi yang kita hadapi pada hari ini agak suram, kerana pelbagai perkembangan berlaku di peringkat antarabangsa.

“Situasi dunia tidak begitu menentu, keadaan pada mutakhir ini, di sesetengah negara menyebabkan harga minyak di tarif terendah dan menyebabkan Malaysia tidak terkecuali,” katanya.

Muhyiddin memberi ucapan di hadapan 200 orang ahli DPMM yang turut dihadiri oleh Presiden DPMM, Datuk Syed Ali Alattas dan pimpinan perwakilan dari negeri-negeri.